Wednesday, September 10, 2008

Bukan Yang Pertama (Siri 12)

Anis, Anis, Anis! Hatinya berseru-seru. Ada radang dan resah meradak hatinya sekali gus. Ada juga bimbang dan takut saling bergelugut di pembuluh darah. Apa sahaja yang dilakukan adiknya itu sehingga menyebabkan dia digantung pengajian?

Kenyataan dalam surat itu terlalu umum, sekadar dinyatakan bahawa Anis melanggar peraturan kolej. Peraturan apa yang menyebabkan dia sehingga digantung pengajian?

Sakit jari-jemarinya mendail nombor telefon bimbit Anis. Tetapi bagaikan tahu-tahu saja, telefon di sana tidak aktif. Dia dail pula talian kolej. Akhirnya selepas tiga empat kali talian terputus selepas disambung kepada seorang demi seorang pegawai, dia dapat juga bercakap dengan orang yang berkenaan. Dia disambungkan pada seseorang yang bernama Dr. Jamilah, yang dimaklumkan padanya, adalah kaunselor yang menguruskan kes Anis.

“Kesalahan apa yang adik saya dah buat?”

Kedengaran diam yang agak lama di sana. Hanya dengusan nafas sahaja.

“Begini Cik Yasmin. Anis terlibat dalam lumba haram. Dia ikut kawan-kawannya di luar kolej sertai budak-budak lumba haram. Dia salah seorang yang ditahan polis. Polis jumpa kad pelajarnya dan hubungi kolej…”

“Masya-Allah…” Lemah lulut Yasmin Zulaikha tiba-tiba.

Dia melepaskan tubuh ke kerusi, tangan kanan kejap memegang telefon dan tangan kanan menggenggam lengan kerusi. Pelbagai rasa mengisi hati. Tidak tahu bagaimana hendak dia cerai-ceraikan satu-satu perasaan itu.

“Untuk sementara, Anis digantung pengajian untuk kami buat siasatan dalaman. Apabila melibatkan polis, perkara ini dianggap menjejaskan nama baik kolej…”

Dr. Jamilah menerangkan padanya beberapa prosedur lain. Dia mendengar dengan teliti. Sepantas itu juga cuba merangka dalam kepala sendiri langkah seterusnya jika perlu untuk menyelamatkan pengajian si adik.

Perbualan dinoktahkan kemudian. Yasmin Zulaikha menelan liur. Dia menarik nafas dan berusaha menenangkan diri sendiri. Menoleh ke sisi, emak berwajah murung dan bermata sayu. Kasihan emak!

“Ke mana adik kamu dah pergi, Min? Semalam dia telefon, dia tak cakap apa-apa pun. Tapi ada dia tanya, ada tak kita dapat apa-apa surat…”

“Kita cuba telefon dia lagi. Dia dah keluar dari asrama kolej. Tentu dia tinggal kat mana-mana sekarang…”

“Kalau Min dapat telefon dia, jangan marah-marah dia. Cakap elok-elok dengan dia, Min. Lagi satu, jangan beritahu Abang Yassin kamu dulu. Kalau dia tahu, mengamuk dia nanti!”

Emak berlalu masuk ke bilik dengan langkah lesu dan berwajah pilu. Apabila emak menyembunyikan diri dalam bilik, itu menandakan bahawa dia susah hati dan tidak mahu anak melihat wajah kusutnya. Itu perangai emak, yang tidak suka menunjukkan wajah murung pada orang lain.

Yasmin Zulaikha tersandar, memicit kepala. Anis, Anis, Anis! Apa yang sudah kau lakukan, dik? Tidak tahukah kau dik, emak begitu runsing memikirkan kau sekarang? Ke mana kau sembunyikan diri?

Sikap Anis memang dia fahami benar. Jika dia melakukan sesuatu yang di luar batasan, dia akan menyembunyikan diri. Takut jika dikejar abang atau kakak. Selalunya emak jadi ‘peguam bela’ terhebatnya. Paling-paling kurang, jika memang terbukti Anis bersalah, emak sekadar menasihati dengan suara paling lemah lembut.

Simpati

“Sebab dia anak yatim, Min. Dia bawah tanggungjawab emak,” itu modal lazim emak.

Kerana Anis anak yatim, anak kepada sepupu emak yang hidup miskin di pedalaman Pahang, maka Anis jadi anak emak. Bapanya meninggal dunia dalam kemalangan ketika dia berusia dua tahun. Lima adik beradiknya yang lain masih kecil. Emaknya pula masih dalam pantang selepas melahirkan adik bongsunya, Azlan.

Kerana simpati melangit pada sepupu itu, emak mohon untuk memelihara Anis. Emak begitu terpaut hati pada anak kecil yang berwajah bundar dan bermata jernih itu. Ibunya membenarkan demi masa depan anak yang lebih baik. Berharap anak seorang itu akan jadi manusia yang lebih terjamin masa depannya jika tinggal dengan Che Jah yang penyayang.

Masa depan yang lebih baik? Sekarang bagaimana masa depan Anis? Yasmin Zulaikha bingung sendiri.

Azlan muncul dengan motosikal abang Yassin. Masuk memberitahu Yasmin, bahawa dia hendak balik ke Sintuk selepas solat. “Tak ada tiket bas, Kak Min. Kena naik bas lompat-lompat. Esok ada kelas.”

Berlalu ke bilik, Yasmin Zulaikha bersiap hendak menunaikan solat Zuhur. Keluar semula, dia lihat Azlan sudah bersedia dengan beg sandangnya. Sudah bertukar baju T hijau dan berseluar jean.

“Mak tidur dalam bilik. Dia kata sakit kepala. Mak sakit, Kak Min?” Azlan memandangnya.

“Sikit saja tu. Nanti Kak Min bagi ubat!” cepat dia memintas kebingungan si adik. Sempat mengutus buah nasihat yang perlu untuk bekalan si adik yang hendak kembali ke kampus.

Sayu hatinya melepaskan pemergian Azlan yang dibawa teksi sapu ke bandar. Azlan, walaupun lebih muda daripada Anis tetapi dia lebih matang daripada kakaknya itu. Mungkin kerana Anis sudah dimanjakan sejak kecil oleh emaknya. Berbanding Azlan, dia tinggal dengan ibu kandungnya yang hidup susah itu sejak sekian lama. Hanya selepas memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di utara, barulah Azlan mula akrab dengan mereka dan banyak menghabiskan masa di rumah ini.

Sepetang santak Maghrib, Yasmin Zulaikha berusaha memburu Anis. Terus menggempur talian telefon adiknya tanpa henti. Tetapi asyik-asyik hanya pesanan suara yang menyambut panggilannya.

Suara emak sesekali terngiang di telinga.

“Kalau apa-apa jadi pada Anis, emak rasa bersalah sekali pada Mak Teh. Emak tak jaga anak dia dengan baik,” ada kesal, ada sayu, ada termengkelan dalam suara sendu emak.

“Janganlah rasa bersalah sangat. Emak dah cukup jaga Anis. Kalau dia jadi tak senonoh juga, bukan emak puncanya!” Dia sedikit tegas mempertahankan.

“Dia amanah kita, Min…” suara emak tersedu, basah telekung putihnya.

Yasmin Zulaikha ambil telefon bimbit dari beg yang tersangkut di kepala katil. Dia jarang-jarang menghidupkan telefon bimbit itu kerana nombornya baru ditukar baru. Tidak ramai rakan yang tahu nombor telefon itu, maka dia lebih senang mematikannya ketika berada di rumah.

Harap-harap kali ini dia berjaya. Dia mendail. Ada nada dering di hujung sana. Pada deringan kelima, panggilan berjawab. Suara serak seorang perempuan memberi ‘helo’.

“Anis!”

Diam di sana.

“Anis, Kak Min sini! Anis di mana ni?”

“Anis… Anis di rumah kawan, Kak Min.”

“Apa yang Anis dah buat ni?” Ada baran dalam suara Yasmin Zulaikha.

“Min, bagi emak cakap dengan Anis…” Emak muncul tiba-tiba di belakangnya, bersuara datar tetapi ada nuansa memerintah.

Yasmin Zulaikha tergamam. Telefonnya cepat dicapai emak.

“Anis, emak ni. Balik ya, nak. Emak tak marah. Tapi tolong balik dulu ya, nak…”


No comments: