Wednesday, September 10, 2008

Bukan Yang Pertama (Siri 15)

Agak lama dia berdiri di hadapan bangsal kecil beratap zink itu. Mata tertampan pada buaian yang tergantung di dahan pohon mempelam tua di tepi bangunan rendah itu. Bagaikan ternampak diri sendiri riang berbuai di sana lewat zaman remajanya dahulu.

Juga masih terbayang, tali buaian pernah putus dan dia terhentak jatuh di atas tanah berselut.

Yasmin Zulaikha tersenyum sendiri. Ada lucu. Ada malu juga terselit dari kejadian itu.

“Kuat berangan anak dara ni!” Ada suara menyergah, disusuli dengan tepukan di bahu kirinya. Yasmin terlompat, langsung terjerit nyaring kerana terkejut.

Hasniah tergelak-gelak memandangnya.

“Ha, berangan lagi! Berangan tak habis-habis!”

“Mana ada berangan! Kak Has yang buat saya terkejut!”

Tambah menghilai ketawa Hasniah. Cepat-cepat dia menarik tangan Yasmin Zulaikha, langsung menariknya ke dalam pelukan. Sejenak dua wanita itu berdakapan mesra.

“Selamat datang. Banyak kerja tengah menanti!” Bisik Hasniah rapat ke telinganya.

Mereka masuk ke dalam. Yasmin Zulaikha sempat memerhati sekitar ruang hadapan yang lengang itu. Tidak banyak berubah. Di sudut, ada sebuah meja makan dan empat buah kerusi bulat. Masih perabut yang lama, fikirnya. Cuma ruang itu nampak lebih kemas. Lantainya sudah dialas tikar getah, tidak lagi sekadar simen hitam sejuk yang mengecutkan pembuluh darah. Ada beberapa rak yang berisi kotak di situ.

Kedengaran suara orang berbual ruang belakang. Dia menjenguk, ternampak dua orang wanita sedang bekerja. Seorang sedang menggoreng sesuatu di dalam kuali besar di atas tungku. Seorang lagi sedang membancuh tepung dalam besen besar.

Yasmin Zulaikha menoleh mencari wajah Hasniah. Wanita itu sudah duduk di kerusi bulat. Tersenyum kala mata mereka bertentangan. Lirikan mata Hasniah seperti mengajaknya duduk sekali di situ.

“Saya tak tahu apa-apa, kak. Saya tak biasa dengan benda-benda ni,” suaranya tergagap sedikit. Ada serba salah dan kurang yakin berpadu satu.

“Tak tahu, belajar. Tak biasa, kenalah biasa-biasakan.”

“Akak ajarlah saya…” suaranya seakan pasrah.

Hasniah tersenyum.

“Ha! Senang kalau cakap begitu…” suara Hasniah girang.

Yasmin Zulaikha mengetap bibir. Memandang ibu tunggal itu yang leka mencatat sesuatu dalam buku tebal di hadapannya. Dia tidak tahu banyak mengenai industri desa yang satu itu. Emaknya salah seorang yang berkongsi modal untuk bisnes kecil itu. Boleh dikatakan pemodal besar juga. Emak sekadar mengeluarkan modal, tetapi tidak terlibat langsung dalam melaksanakan tugas kerana alasannya sudah tidak ada kudrat.

“Mak engkau dulu bantu bagi modal sebab nak tolong perempuan macam akak ni. Dia cakap, dia boleh bagi modal saja. Akak nak bayar balik duit yang dia bagi tapi dia tak mahu. Tapi katanya, kalau anak dia minat, dia akan minta anaknya terlibat secara langsung…” Suara Hasniah satu-satu masuk ke telinganya.

Kalau Hasniah tidak memberitahu pun, dia sudah maklum akan hal itu. Setiap bulan, emak hanya menerima hasil, wang itu sedikit sebanyak mencukupkan perbelanjaan dapur mereka. Sudah setahun wanita-wanita desa termasuk ibunya berkongsi niaga perusahaan makanan kudap-kudapan ini. Walaupun kecil-kecilan tetapi semakin ada sambutan dari masa ke semasa.

“Tempoh hari pelancong-pelancong tu datang, banyak juga yang mereka beli. Bersemangat akak lepas tu. Sebab itu, akak nak ada orang muda macam engkau ni membantu! Akak ni orang tua, fikiran dah tak kreatif.”

Yasmin Zulaikha mengisar duduk. Kaki kanan menggesel-gesel kaki kiri yang gatal. Terasa seperti ada semut merayap naik. Tidak cukup kaki, tangannya pula mendarat ke kaki. Berkerut mukanya, entah pedih, entah sedap kerana lama menggaru.

Dia merenung wajah Hasniah. Wanita awal 30-an itu selalu menganggap dia orang tua. Hasniah masih muda, fikirnya. Cuma barangkali statusnya sebagai ibu tunggal kepada tiga orang anak kerap membuatkan dia terasa rendah diri. Itulah mungkin yang membuatkan dia terasa dirinya sudah begitu tua!

“Saya akan fikir apa yang patut. Tapi akak kenalah ajar saya. Saya ini budak baru belajar!”

Giliran Hasniah pula merenung wajah Yasmin Zulaikha. Ada sesuatu yang bermain di fikirannya. Budak mentah tetapi bersemangat. Mentahnya dia kerana kurang berpengalaman. Tetapi budak yang ada semangat seperti orang muda itu mudah menyerap ilmu, apatah lagi kerana dia sendiri memang kalangan orang terbilang.

“Engkau jangan takut. Akak ajar apa yang patut. Nanti kau dah pandai, engkau pula mengajar akak!” Hasniah bingkas, melenggang masuk ke ruang dapur.

Yasmin Zulaikha tinggal terpinga. Kurang jelas maksud yang dihantar Hasniah, adakah menyindir atau ikhlas?

Telinganya mendengar Hasniah berkata sesuatu kepada dua wanita yang bekerja di dapur. Semacam memberi arahan. Setahunya juga, wanita-wanita yang bekerja di perusahaan ini tidak tetap kecuali Hasniah seorang. Yang lain-lain adalah kaum ibu yang datang secara bergilir-gilir dan mereka bekerja dengan bayaran mengikut hari.

Dia enggan meremehkan. Sejenak dia berkelintar dalam ruang hadapan yang lapang lengang itu. Dia amat jarang-jarang datang ke situ. Sesekali datang, dia sekadar menemani emak ‘melawat kawasan’. Atau pada musim raya, dia datang bagi pihak emak untuk mengambil tempahan makanan kudap-kudapan, yang enak dimakan kala menonton televisyen!

Sejenak dia tersedar sesuatu.

Jika ini jalan yang harus dia redah, maka dia harus bersedia. Jika benar ‘orang tua’ seperti Hasniah memerlukan tenaga orang muda sepertinya, maka dia mesti menyiapkan dirinya untuk jadi perintis.

Yasmin Zulaikha leka berangan kala terdengar suara memberi salam di muka pintu. Berpaling dan dia lihat seorang lelaki di sana. Dia merenung lebih bersungguh. Lelaki itu juga merenungnya.

“Cari siapa?” spontan terkeluar soalannya.

“Err, Hasniah ada?” Agak ragu lelaki itu menjawab. Tetapi sopan. Pakaiannya kemeja kolar Nehru, kurus tinggi, ada pinggut di bawah dagu runcing dan berkopiah ala Raihan.

Hasniah terburu-buru keluar bagaikan tahu-tahu ada orang mencarinya. Lelaki itu juga tersangkak, mengundur kala Hasniah sudah sampai di muka pintu. Kedengaran mereka berbincang sesuatu. Lima minit kemudian, Hasniah masuk semula. Ada deruman kereta keluar dari kawasan bangsal.

“Siapa tu kak?” Yasmin Zulaikha tersengih. Sengaja menjolok dengan soalan.

“Ustaz Mustakim!” Panjang nada Hasniah ketika menyebut nama itu.

Yasmin Zulaikha berkerut dahi. Nada Hasniah itu bagaikan memberitahu sesuatu.

“Ustaz Mustakim? Siapa?”

No comments: