Wednesday, September 10, 2008

Bukan Yang Pertama (Siri 16)

“Ustaz Mustakim? Hai, takkan dah tak ingat?” Hasniah menjeling dengan sengih bermakna. Meninggalkan Yasmin Zulaikha dalam pinga. Wanita itu berlalu ke ruang dapur.

Dia menurut langkah Hasniah. Memerhatikan wanita itu cekatan mengayak tepung. Duduk berhadap-hadapan dengan Hasniah. Memerhatikan beberapa bekas lain di situ yang berisi serbuk kari, racikan daun kari, garam, santan, juga jintan manis dan jintan putih yang sudah ditumbuk. Itu ramuan untuk menyediakan kuih siput.

“Saya macam pernah dengar nama dia…”

Hasniah buat muka bosan.

“Allah! Pelupa benar engkau ni. Umur baru 25 tetapi dah nyanyuk. Ustaz Mustakim itu kan murid abah engkau. Dia mengaji al-Quran di rumah engkau dulu..”

“Oooo….” bulat mulut Yasmin Zulaikha.

Cuba dia mengimbas zaman anak-anaknya dahulu. Memang Allahyarham abah pernah membuka kelas mengaji al-Quran di rumah mereka. Kanak-kanak lelaki mengaji di serambi. Kanak-kanak perempuan mengaji di ruang atas. Itu ketika rumah mereka belum diperbesarkan dan belum ditambah bahagian bawah.

Mungkin benar Ustaz Mustakim salah seorang anak murid abah dahulu. Sudah ramai benar murid abah yang berjaya. Abah di alam sana tentu berbahagia menyaksikan anak didik yang mengenal alif, ba, ta di tangannya, sudah menjadi orang berguna hari ini.

Dia kurang mengenali anak-anak didik abah walaupun ketika anak-anak dahulu dia pernah mengaji bersama mereka. Yang dia masih ingat, pernah satu ketika, terdapat sekumpulan besar sekitar 10 sehingga 15 orang anak desa yang mengaji di bawah bimbingan abah. Agak-agak dia dalam usia lima atau enam tahun ketika itu. Barangkali Ustaz Mustakim salah seorang dalam kumpulan yang ramai itu. Jika dihitung usia lelaki itu, barangkali tujuh lapan tahun lebih tua daripadanya.

Setahun dua selepas kumpulan besar tersebut, murid abah semakin berkurangan. Kebanyakan dari kumpulan besar itu sudah khatam al-Quran dan sudah masuk sekolah menengah. Tiada murid baru yang datang mengaji, apatah lagi kerana di sekolah ada kelas agama sebelah petang. Anak-anak sekolah beralih ke kelas pengajian agama yang disediakan di sekolah kerana topik pengajiannya lebih rencam dan tidak terhad pada mengaji al-Quran dan tajwid sahaja.

Kemudian Yasmin Zulaikha pula ke sekolah menengah berasrama penuh di Pulau Pinang, menyambung pula di sekolah agama di Selangor, sebelum masuk ke universiti. Banyak kenangan di desa yang terkambus bersama berlalunya zaman remaja dia. Hanya sesekali dia balik ke kampung, dia tidak betah lagi bergaul kerana tidak lagi teman yang dikenalinya di sini.

Hanya sekarang baru dia kembali. Baru sekarang dia rasa perlu untuk kembali mengenali desa dan warga sini yang sudah lama dia abaikan.

“Ustaz Mustakim tu kahwin dengan orang Kedah. Tapi isterinya meninggal dunia lepas lahirkan anak ketiga mereka. Awal tahun dulu, dia balik ke sini, mengajar di sekolah menengah di bandar. Katanya, nak dekat dengan keluarga. Senang keluarganya tolong tengok-tengokkan anak-anaknya,” suara Hasniah kembali menarik khayalan dia. Dia menelinga, tidak tahu mahu mencelah di mana.

“Dah tiga tahun isterinya meninggal. Semua anak dia jaga sendiri. Dibantu oleh emak dengan kakak sulung dia. Sampai sekarang dia membujang…” Lagi penerangan Hasniah menyinggahi telinganya.

Semua bahan sudah diadun sama. Santan dan air dituang. Lincah jari-jari tangan Hasniah menguli adunan tepung sehingga mesra sebati. Gabungan ramuan menaikkan bau enak.

Yasmin Zulaikha tersenyum tawar. Ada sesuatu terdetik dalam hatinya, betapa manusia ini ditentukan dengan pelbagai takdir yang tidak tidak serupa antara satu sama lain. Ketika sedang bahagia, tiba-tiba kebahagiaan itu direntap pergi. Dalam tengah bersuka ria, tiba-tiba kita menangis. Dalam syukur menerima kehadiran orang baru, tiba-tiba ada pula nyawa lain yang diambil semula oleh Tuhan.

Betapa ironinya kehidupan!

Kisah singkat mengenai Ustaz Mustakim itu terus terngiang-ngiang di telinga sehingga dia memandu balik petang itu. Dalam mengenangkan cerita orang, dia teringat jalur hidup sendiri yang masih belum tahu hujung punca.

Rezeki

Ustaz Mustakim kembali ke desa sendiri selepas ditinggalkan orang tersayang. Dia, Yasmin Zulaikh kembali ke desa selepas tiada rezeki di ibu kota. Ini jalur hidupnya barangkali. Inilah yang mesti ditempuhinya.

Ketika kereta melewati kawasan kedai, dia teringat sesuatu. Langsung memberhentikan kenderaan. Terpandang gerai buah-buahan yang berselang dua unit dari kedai runcit, ringan kakinya hendak melangkah ke sana. Tetapi segera dia mengendurkan niat tatkala terpandang Pak Isa sedang tawar-menawar buah durian di situ.

Langsung dia melencong ke kedai runcit. Beberapa minit kemudian, dia keluar menjinjing dua beg plastik sarat barang keperluan dapur. Terkial-kial dia mencari kunci kereta yang terbenam di dasar beg. Sempat mendongak, langit kelihatan gelap. Ada petanda hujan bakal mencurah, dan dia harus pulang segera.

“Assalamualaikum!”

Yasmin Zulaikha menoleh. Tergamam ketika mata tertampan pada wajah di hadapan. Dia menjawab salam dengan suara perlahan, sejenak agak termalu kerana tersedar diri begitu lama memerhati lelaki di hadapan. Mata memang silau, memang terpesona dengan keindahan yang belum pasti hakiki.

“Ini Yasmin, anak Pak Cik Basri dan Mak Cik Jah, kan?”

“Ya, saya…” tersipu dia menjawab.

Terasa ada gangguan. Ada malu, segan saling bercempera. Tangan masih mengorek dasar beg. Dalam hati, dia merungut sendiri. Entah di celah mana, kuncinya tersembunyi.

“Nanti kirim salam pada Mak Cik Jah…”

“Insya-Allah. Er…” Serba salah dia tiba-tiba. Wajah bersih dengan pinggut dan songkok ala Raihan itu entah mengapa begitu membuatkan dia terkacau.

“Oh, Mustakim! Yasmin mungkin dah tak ingat. Dulu abang pernah mengaji al-Quran dengan Pak Cik Basri…”

“Aaa, okey…” Dia tersengih sudahnya.

Ada pelbagai rasa yang begitu peribadi dalam hati. Sehari ini, agaknya memang ditakdirkan hari Ustaz Mustakim. Pagi tadi bertemunya di bangsal. Kemudian mendengar cerita Hasniah mengenai kisah lara ustaz muda itu. Ingatannya pada anak desa yang seorang itu berlegaran pula sepanjang perjalanan pulangnya. Dan saat ini, mereka bertentang empat mata dan berbual pula!

“Maaf, tadi masa jumpa di bangsal Hasniah, tak perasan. Macam kenal tapi tak ingat. Lepas tu, baru teringat. Maklumlah dulu Yasmin kecil lagi. Dengarnya dah jadi pengusaha homestay. Eloklah tu, kampung pun perlukan pembaharuan dan idea orang muda…”

Yasmin Zulaikha tersenyum. Secarik malu menikam hati. Dia terkenang zaman kecil-kecil dahulu, dia kerap berseluar katok atau berskirt senteng, kerap diusik sakat anak-anak murid abah. Selalu ditegur abah, jika ada budak-budak lelaki datang mengaji, dia mesti berpakaian sopan, tidak manis dilihat anak-anak lelaki itu.

“Kirim salam pada emak ya. Er, dah jumpa kunci kereta?” Suara Ustaz Mustakim lembut menerpa indera telinganya lagi.

Dia terasa mukanya tambah merah.

Tetapi senyuman ustaz itu terasa sejuk menusuk hati!

No comments: