Wednesday, September 10, 2008

Bukan Yang Pertama (Siri 14)

Wajah Pak Isa yang tidak mesra itu menyundut ingatannya, buat dia sedikit terganggu. Ada radang, malu dan bengang berselerak di lantai hati. Orang tua kurus jangkung berkopiah putih itu mencemik, menghantar pandangan benci ke wajahnya.

Orang lalu lalang yang masuk ke gerai tepi jalan itu tertoleh-toleh ke arah mereka.

“Maafkan saya, Pak Isa. Pak Isa tak boleh cakap begini. Saya tak buat salah. Saya buat apa yang patut saja,” dia cuba berlembut ketika itu. Wajah terasa panas kerana ditempelak tiba-tiba.
“Apa yang patut? Kamu tu masih budak. Cepat terpengaruh yang bukan-bukan. Baik bertaubat segera!” Tajam kata-kata itu menikam telinganya.


Yasmin Zulaikha memejam, cuba mengenyah pergi wajah Pak Isa. Ada bara memercik di sudut hati cuba disejukkan sendiri. Sakit hati diperlakukan oleh orang tua yang sepatutnya menunjuk ajar dengan lembut dan berhemah. Tetapi dia memujuk hati, dia akan jadi seperti Pak Isa, jika dia melayan kepala Pak Isa yang baran tak tentu hujung pangkal itu.

Sampai di rumah, letak makanan atas meja, dia bergegas ke bilik. Ketika melintas kamar emak, dia dengar ada alunan halus ayat suci di dalam. Enggan mengganggu, dia humban diri sendiri ke atas katil, terkebil-kebil merenung kipas yang berputar malas.

Banyak yang berbuncah dan berselirat di kepala. Pelbagai perasaan mengisi hati. Kesal, marah, rasa putus asa, bimbang dan sakit hati masih berbaki, saling membelit tangkai jiwa.

Menyesalkah dia menyertai program ini? Dia menyoal diri sendiri. Berkali-kali dia menyoal tetapi gagal menemui jawapan dari hati sendiri.

Yasmin Zulaikha terasa diri kalap seketika. Dia bingkas, berlalu ke bilik air mengambil wuduk dan mengenakan telekung. Kusyuk dia menyerahkan diri pada Pencipta. Cuba mencari ketenangan jiwa yang sebenar. Usai solat, dia menyambung dengan surah Yasin pula.

Sejam lebih kemudian, cahaya ketenangan sudah menyuluh hatinya. Duduk menyandar di katil, dia sudah berjaya merasionalkan akal dengan segala yang menimpa. Wajah Pak Isa yang berpangkat bapa saudara dengannya itu, sudah tidak begitu mengganggu lagi.

Pengingat
Anggap saja kemunculan orang tua itu sebagai pengingat yang baik. Dia datang untuk memberi peringatan bahawa tugas yang Yasmin Zulaikha pikul ini harus dilaksanakan dengan niat yang baik. Demikian sematkan pesanan itu dalam minda.

Dia orang muda mesti banyak belajar. Belajar dengan niat untuk beroleh kebaikan, bukannnya keburukan.

Sejenak masih terbayang-bayang surah al-Nahl: 97 yang ditelaahnya tadi, Sesiapa yang mengerjakan amal kebajikan, sama ada lelaki atau perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik, dan sesungguhnya akan Kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka kerjakan.

Sumbangan manusia termasuk dalam konsep istikhlaf al-insani atau memartabatkan manusia sebagai khalifah. Sebagai manusia, dia harus memainkan peranan pengislahan dalam semua aspek kehidupan masyarakat sekeliling. Jika ini sumbangan kecil yang boleh dilakukannya, maka mengapa dia mesti berundur?

“Umat Islam hari ini adalah umat yang mensia-siakan lima kekuatan yang ada padanya, iaitu kekuatan akal, amal, ekonomi, tenaga dan spirituil. Ini kata Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi. Cuba renungkan semula kata-katanya. Ada kebenaran atau tidak dalam pendapat ini. Cuba fikirkan semula,” kata Dr. Hayati kembali bergema di telinga.

Kuliah pensyarah itu memang selalu dinanti-nantikan lewat zaman belajarnya dahulu. Yang paling menarik perhatiannya, pensyarah itu kadangkala tidak sekadar menyampaikan ilmu mengikut sukatan pelajaran tetapi kerap juga menyuntikkan motivasi pada pelajar.

Yasmin Zulaikha sedikit terpesona dengan kalimah itu. Tetapi sejurus dia teringat kata-kata Dr. Yusuf al-Qaradawi juga yang lantang menggambarkan umat Islam hari ini sebagai umat yang lupa diri, tidak punya semangat, menyimpang daripada matlamat asal dan telah tersesat jalan!

Dia cuba mengingat-ingat semula akan kebenaran hujah tokoh tersohor itu. Jauh di sudut hati kebenarannya memang sukar disangkal lagi. Malah jika diteropong umat Islam hari ini dengan teropong zaman Rasulullah, barangkali benar umat Islam kini sudah terpesong jauh daripada landasan Islam sebenarnya!

Yasmin Zulaikha memejam. Ada kengerian yang bercadung di hati tiba-tiba. Dia generasi baru harus berusaha mengambil jalan lain untuk mengubah keadaan ini. Jalan yang barangkali belum pernah direntasi orang terdahulu, sekali pun jalan itu barangkali bersemak samun dan berliku amat!

Menemani
Tersentak dia kala daun pintu diketuk, bersulam suara emak di luar. Enggan membiarkan emak tersayang menunggu, dia keluar dan menyertai emak di meja makan. Sekadar menemani emak menjamah hidangan lewat malamnya. Emak sekadar menjamah sedikit, barangkali sengaja mahu ambil hatinya kerana bersusah payah membelikan sesuatu.


“Kata Mak Long Kiah, dia nampak Pak Isa bercakap dengan Min masa singgah di gerai tadi…”
Yasmin Zulaikha cuba mewajarkan wajah. Enggan membiarkan emak mengesan riak aneh di wajahnya. Amboi! Cepat benar Mak Long Zakiah itu menyampaikan berita. Benar-benar jadi mata dan telinga emak. Apa sahaja yang dia lakukan, habis semuanya dilaporkan pada emak!


Dia diam membisu.

“Dia cakap apa?”

“Tak ada apa-apa.”

Emak merenungnya dalam juga. Tetapi dia pura-pura tidak faham, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

“Takkan tak cakap apa-apa?” Emak tidak puas hati.

“Tanya khabar saja. Dia kirim salam dengan emak.” Santai dia membalas, membuatkan emak terbeliak.

Kedengaran telefon bimbitnya berdering sekali. Ada pesanan masuk. Dia ambil peluang itu untuk melepaskan diri. Capai telefon di atas almari rendah di ruang tamu dan masuk ke bilik. Dia tidak pedulikan mata emak yang hairan memandangnya.

Khidmat pesanan ringkas (SMS) dibuka. Ada pesanan aneh dari nombor yang tidak dikenali.

Apa khabar orang di sana?
Harap segala yang dirancang
berjalan baik. Umar


Yasmin Zulaikha tersenyum. Dalam hati terasa lega kerana ada sahabat yang mengambil berat. Cekatan dia menaip balasan.

Kerja baru bermula. Cabaran juga sudah datang.

Yasmin Zulaikha mengerlip mata. Lemahkah dirinya sehingga harus mengadu-adu begini?

Tetapi belum jeda lama, ada balasan menerjah ruang skrin.

Cabaran ada di mana-mana.

Dunia ini memang padang ujian manusia.

Tapi pasti ada jalan keluar setiap masalah.

Yasmin Zulaikha mengetap bibir.

No comments: