Wednesday, September 10, 2008

Bukan Yang Pertama (Siri 13)

Hati emak
Jiwa emak. Tiada siapa yang faham hati seorang ibu. Seganas laut bergelora, seruwet itulah juga sukmanya berkecamuk. Pelbagai andaian mendekam benak, ada persoalan tidak berjawab, ada kemusykilan minta dilunasi.

Emak berkelintar resah dalam kamar, duduk di katil rasa terpanggang, keluar ke ruang depan berbahang pula, lantas sudah-sudahnya, langsung tercokoh di depan pintu menatap malam gelita. Kancil Yasmin Zulaikha tiada di halaman menandakan anak gadis itu juga tiada. Gadis itu ada mesyuarat jawatankuasa homestaynya.

Sesekali matanya merenung telefon yang bisu tidak berbunyi. Sejak beberapa jam tadi, telefon itu jadi alat yang begitu sensitif padanya. Ada debar keras menghentak hati andai telefon tidak bersuara. Tetapi apabila telefon mula berbunyi, dia mula terasa tangkai jantung bagaikan mahu terputus.

Ini hati ibu. Beginilah hati ibu!

Seorang demi seorang wajah anak bertandang di tubir mata. Semua anak sudah besar panjang dan pandai bawa diri. Sebagai ibu, dia bangga dengan anak-anak. Tetapi kebanggaan itu jarang-jarang sekali diluahkan terus-terang di hadapan mereka. Kadangkala dia rasa dia perlu bersikap seperti ibu-ibu konservatif lain yang amat kedekut dengan pujian.

“Tak payah risau, Jah. Anak-anak kau menjadi belaka. Semuanya masuk universiti, belajar tinggi,” kata-kata Long Zakiah selalu singgah di telinganya.

Apabila bersembang mengenai anak-anak, sahabat baik itu selalu membandingkan anak-anak mereka berdua. Anak Che Jah, semua masuk universiti. Anak Long Zakiah pula paling tinggi setakat sekolah menengah, sekadar bekerja biasa-biasa sahaja.

“Masuk universiti tak bermakna menjadi belaka. Sekarang ni memang ramai yang terpelajar tapi tidak terdidik,” begitu dia membalas, membuatkan sahabat baik itu mengangguk bersetuju.

Dia memang orang tua. Tetapi dia rasa dia tidak ketinggalan. Dia orang yang selalu mengikuti perkembangan. Akhbar, majalah, program berita - adalah kegemarannya. Dia tahu, hakikat hari ini, graduan universiti dengan ijazah dua tiga keping, masih boleh jadi jahat. Sekolah 15 tingkat, ada ijazah berjela-jela tidak menjamin seseorang jadi manusia berakhlak!

Wajah Yassin, Yasmin, Anis dan Azlan satu demi satu bertunda di mata. Semuanya sudah besar panjang, sudah lebih besar tinggi daripada dia sendiri. Semuanya lebih terpelajar daripada dia sendiri. Cuma dia sebagai ibu, tidak pasti, adakah anak-anak itu sudah benar-benar terdidik?

Dahulu ketika suami masih ada, selalu mereka berdua berbincang mengenai masa depan anak-anak. Selalu suami ingatkan dia bahawa anak itu amanah dan amanah harus dijaga molek serta penuh terhormat. Kerap suami menyitir kalimah popular milik Khalifah Umar al-Khattab bahawa anak-anak harus dididik mengikut zaman.

“Tidak boleh ikut cara kita dididik dahulu. Dunia mereka berbeza. Kita yang kena berubah mengikut zaman mereka,” begitu selalu kata suami.

Dia pegang dan pasak betul-betul dalam kotak fikir.

Tapi dalam bab pendidikan agama, itu tak ada tolak ansur. Dalam bab rukun Islam, rukun iman - yang itu tak ada pengecualian, Jah,” sekali lagi peringatan suami tertusuk dalam minda tajam.

Empat anak dengan empat ragam yang berbeza. Yassin yang sulung, walaupun punya diploma perakaunan tetapi akhirnya mengundur diri daripada bidangnya. Mahu jadi petani dan penternak moden. Dia biarkan sahaja kerana begitulah keinginan si anak. Dan si anak masih di landasan yang lurus nampaknya.

Si Yasmin itu pula, baru tamat pengajian, terlonta-lonta tiada pekerjaan tetapi akhirnya balik ke kampung, jadi pengusaha homestay. Dunia kerjaya anak itu baru bermula, entah laluan bagaimana yang harus dirintis, dia tidak tahu. Tetapi anak gadis itu sekurang-kurangnya ada depan mata dia sendiri. Makanya dia tidak begitu risau benar.

Azlan, anak muda itu nampak sedikit matang dalam usia remajanya. Tahu apa yang dia lakukan. Cuma yang dia paling bimbangkan sekarang - Anis! Baru setahun dua dihantar belajar jauh di Kuala Lumpur, sudah ada cerita tidak enak yang sampai ke telinganya. Berbanding adiknya Azlan, Anis itu lebih kebudak-budakan. Manja dan kerap perlu perhatian lebih daripada anak-anak yang lain.

Salah dia!

Salah dia kerana terlalu memanjakan Anis! Dia tidak pernah berlaku tidak adil pada anak itu. Berbanding anak-anak kandung, dia memang lebih memberikan perhatian pada Anis kerana mengenangkan kedudukan Anis sebagai anak yatim dan malang.

Sejurus dia terkenang cerita Luqman, si bijaksana yang namanya telah diabadikan dalam surah Luqman. Kisah seorang petani datang bertemu majikan Luqman dan bertanya, mengapa sebahagian tanah yang tidak dia kerjakan lebih subur berbanding sebahagian yang dia kerjakan. Kata majikan Luqman, itu kehendak alam. Tetapi Luqman si bijaksana menjawab, “Tanah itu bagaikan seorang wanita yang punya beberapa orang anak, kemudian dia berkahwin lain dengan lelaki yang juga punya anak. Maka sudah tentu wanita itu akan memberi perhatian lebih kepada anak kandungnya sendiri supaya anak itu lebih baik daripada anak tirinya.”

Tetapi itu tidak berlaku kepada anak-anaknya. Antara Anis, Yassin, Yasmin, malah Azlan yang datang lebih lewat - semuanya diberi kasih sayang dan perhatian sama adil. Malah kadangkala dia rasa, dia melebihkan Anis dalam banyak hal. Masih tidak cukupkah?

“Anak-anak sekarang, Jah. Selalu orang kata, kalau anak kurang ajar, puncanya sebab mak bapak tak pandai ajar. Tapi anak-anak sekarang susah nak cakap. Dunia mereka lain sangat, Jah. Dalam rumah dengan luar rumah lain sangat. Kita ajar mereka di rumah tapi di luar mereka belajar banyak benda lain yang kita tak tahu. Depan kita, pijak semut pun tak mati. Tapi belakang kita, bapa harimau pun mereka berani tumbangkan!” Suara Long Zakiah selamba di hujung telefon.

Dia tersenyum pahit mendengar perumpamaan itu.

“Tapi saya rasa bersalah, Kiah. Rasa bersalah pada emak Si Anis. Rasa macam saya tak pandai jaga anak dia!” suaranya sayu.

“Jangan! Jangan rasa begitu. Kau dah buat yang terbaik untuk anak kau yang seorang tu. Kalau dia salah langkah juga, kau jangan putus asa, Jah. Jangan. Kita emak, jangan ada rasa begitu!” Beria-ia nasihat Long Zakiah.

Dia menelan liur sendiri. Rasa ada semangat yang disuntik ke jiwanya. Mendengar nasihat teman baik yang tidak lokek ilmu itu, dia terasa cahaya diri yang tadinya bagaikan malap, sudah kembali terang bersinar!

“Kau tunggu saja Si Anis balik. Tentu ada penjelasan daripada dia. Kau doa banyak-banyak. Jangan fikir yang bukan-bukan,” begitu lagi pesan Long Zakiah sebelum menamatkan perbualan tadi.

Dia terpaksa merelakan sahabat baik itu meletakkan telefon, walaupun hakikatnya dia masih memerlukan seseorang untuk mendengar ceritanya.

Ya, dia harus menunggu anaknya balik!

No comments: