Monday, August 25, 2008

Bukan Yang Pertama (Siri 11)

Hari Terakhir

Sarapan pagi hari itu tiba-tiba jadi begitu meriah. Abang Yasin anak beranak datang bertandang membawa nasi lemak kukus dan sambal sotong air tangan Kak Miah. Emak pula menyediakan cucur udang yang memang menjadi kegemaran. Keluarga kecil berkumpul awal pagi kerana mahu meraikan anggota baru mereka, iaitu Jason.

“Sarapan pagi yang istimewa. Rasa macam dalam keluarga,” ulas Jason ketika semua orang berkumpul di meja makan. Dia tersenyum memandang anak-anak abang Yasin yang merenungnya dengan mata tidak berkelip. Mizi tersipu malu kala tangan Jason mengusap kepalanya.

Yasmin Zulaikha merenung anak muda kacukan Inggeris Cina yang fasih berbahasa Melayu itu. Dia terkesan ada sedikit nada terkilan dalam suara itu.

“Lain kali sudi-sudilah datang lagi. Kami memang suka terima tetamu,” Yasmin membalas, cuba menghantarkan isyarat kemesraan berkeluarga dalam hati anak muda itu.

“Ya, udara di kampung juga sangat bagus. Sejuk tapi segar,” anak muda itu bersuara lagi, walaupun sedikit pelat tetapi yakin.

“Sebab itu anak-anak elok didedahkan pada suasana kampung. Ingat kisah Rasulullah, waktu kecilnya, dia ditinggalkan dengan keluarga angkat, Halimatussaadiah di luar Mekah. Rasulullah bukan saja diajar berdikari, tapi suasana kampung yang elok banyak membentuk peribadinya, berbanding kota Mekah yang sesak,” emak menyambung, memandang Jason dalam senyuman seorang ibu.

Jauh di sudut hati, Yasmin Zulaikha tahu emak ada rasa ralat di hati. Baru semalam anak muda itu tiba, belum sempat bermesra tetapi tengah hari ini, mereka sudah akan berangkat pergi.

Tidak banyak yang mereka tahu mengenai anak muda itu dalam masa yang singkat ini. Jason juga nampaknya tidak begitu terbuka untuk bercerita kisah peribadinya.

“Saya akan datang lagi.” Jason seakan-akan melafaz janji.

“Jason patut jumpa seorang lagi anak mak. Anis. Kakak pada si Azlan ni,” emak ramah lagi bercerita.

Ada debar menyelinap ke hati Yasmin Zulaikha tiba-tiba. Mendengar nama Anis, ada rasa tidak enak terhantar ke jiwa. Ada sesuatu yang meruntun perasaan juga. Ada perasaan tidak enak tersangkut di pintu sukma. Apakah itu?

“Anis telefon mak semalam…”

“Ha, apa ceritanya?” Abang Yassin cepat bertanya.

“Tak ada cerita apa pun. Katanya semua baik.” Ada ceria dalam suara dan wajah emak.
“Lan selalu telefon Kak Anis. Tapi Kak Anis tak pernah telefon Lan. Kalau hantar SMS pun, dua tiga hari baru nak membalas. Kedekut prepaid betul dia!” Azlan membebel tiba-tiba.


“Dia sibuk belajarlah tu!” Emak cepat membela.

Azlan diam, kembali menumpukan perhatian pada makanan. Sudah dua kali bertambah nasi lemak. Di kampus, mana hendak dapat makanan seenak ini. Setiap kali balik kampung, dia pasti akan merengek pada emak supaya meminta Kak Miah memasakkan nasi lemak kukus untuknya. Hendak meminta sendiri, dia malu pada abang Yassin.

Yasmin Zulaikha bersilih pandang antara wajah emak dan Azlan. Sesuatu yang kurang enak itu masih mencuit-cuit tangkai hatinya. Dia teringat pada Anis yang setiap bulan mendapat wang daripada emak untuk dana kad prabayar telefon bimbitnya. Emak tidak berkira dalam hal yang satu itu kerana bagi emak, perhubungan dengan anak-anak mesti akrab walaupun mereka jauh di mata. Dahulu ketika dia masih bergelar pelajar, emak juga tidak banyak bersoal jawab jika dia meminta wang untuk telefon bimbit.

“Nanti selalu-selalu telefon emak di sini ya!” Dia sempat mendengar emak berpesan pada Jason.
Yasmin Zulaikha cepat tersedar bahawa hari ini adalah hari terakhir rombongan pelancong untuk program homestay. Sebelah pagi, para tetamu akan dibawa berkunjung ke bengkel perusahaan desa yang mengeluarkan produk makanan ringan. Menjelang tengah hari, diadakan jamuan perpisahan untuk tetamu di kediaman Tok Ketua Alang Karim.


“Harap-harap ini bukan kunjungan pertama dan terakhir. Kami sangat alu-alukan kedatangan tuan-tuan dan puan-puan ke desa kami. Kami harap tuan-tuan dan puan-puan menikmati pengalaman yang menarik dalam kunjungan singkat ini,” sedikit ucapan Datuk Kasa disambut dengan tepukan tetamu.

Yasmin Zulaikha sedikit leka memerhatikan gelagat tuan rumah dalam acara terakhir itu. Dia tersenyum tika terpandang Mak Long Zakiah mengesat air mata ketika tetamunya, wanita Cina berambut lurus paras bahu itu memeluknya. Mak Long Zakiah yang mulut bising itu kadangkala memang sensitif orangnya.

Tetamu bersalam-salaman dengan tuan rumah sebelum beredar menaiki bas. Matahari semakin tinggi tetapi awan melindungi memberikan keredupan. Ada wajah sedih bercampur ria mengiringi perpisahan itu.

Bas berlalu pergi.

Yasmin Zulaikha ternampak-nampak Jason di dalam bas merenung panjang padanya. Renungan anak muda kali ini entah mengapa terasa ada kesayuan. Bagaikan ada sesuatu yang termengkelan, tidak terluahkan. Lama dia membalas renungan anak muda itu sehingga bas semakin jauh dan jauh.

Jauh di mata, di hati jangan, dik! Hatinya spontan berbisik.

Emak menggesanya mengajak pulang. Azlan awal-awal sudah hilang, katanya mahu ke bandar untuk membeli tiket pulang ke Sintok. Tok Ketua Alang Karim kecoh mengingatkan para pengusaha homestay yang menerima tetamu agar hadir dalam mesyuarat di pejabat belia malam nanti.

Selesai satu perkara. Ke mana hala tuju projek yang mereka usahakan ini, masih terlalu panjang jalan yang hendak dirintis. Masih terlalu banyak perkara yang perlu diperbaiki dan diperkemaskan agar perancangan masa depan berjalan lancar. Tetapi dalam hati, Yasmin Zulaikha berpuas hati kerana perancangan awal sudah terlaksana seperti dirancang.

Dalam hati paling dalam, dia memahat azam untuk tidak mensia-siakan semua peluang ini!
Emak terburu-buru masuk ke rumah, tidak tahan hendak ke bilik air katanya. Pada mulut peti surat, ada sampul putih terjulur keluar. Kepala surat menunjukkan cop kolej Anis sekali gus menghantar dup dap keras ke jantung. Dia menelan liur. Apa berita yang dihantar oleh surat bercop rasmi itu?


Sesaat, dua saat, sehingga 60 saat berlalu, dia tersandar dengan surat putih di tangan. Sesungguhnya ini memang perkhabaran yang kurang enak. Berita yang tidak menggembirakan, malah boleh jadi berita yang bakal melukakan.

“Surat siapa?” Emak duduk di depannya, merenung wajah anak yang mendung.

“Surat Anis…” lambat-lambat dia terpaksa menjawab.

“Kenapa dengan dia?”

Yasmin Zulaikha menelan air liur. Bagaimana hendak menjelaskan?

No comments: