Tuesday, June 10, 2008

Bukan Yang Pertama (Siri 4)

Menghitung debar

PERSIAPAN sudah hampir lengkap. Tidak akan sempurna sepenuhnya kerana memang tidak ada kesempurnaan dalam hidup. Tok Ketua Alang Karim pahatkan begitu dalam kepalanya. Walau tidak sempurna 100 peratus, tetapi dia harus pastinya semua ada. Dalam hati dia bimbang sekali jika ada apa-apa kekurangan. Tidak mahu segala-galanya terjejas.

“TPM yang akan datang sendiri tahu. Dia yang akan sampaikan sijil pada kita semua. Sebab itu, jangan ada cacat cela. Semua mesti teratur. Hendak masuk surat khabar, masuk televisyen, jadi mesti elok segala,” dia beria-ia sedikit menjelaskan.

Dia bertandang ke rumah Yasmin Zulaikha membawa satu lagi berita yang tidak kurang penting.
“Pihak jawatankuasa tertinggi homestay sudah setuju. Kita nak jadikan rumah ini sebagai rumah homestay contoh. TPM nak datang melawat sini….”

Yasmin kelihatan tercengang. Emaknya, Khadijah, yang selalu Alang Karim bahasakan sebagai Che Jah berkerut dahi. Ada garis kebingungan di wajahnya.

“Rumah ni?”

Alang Karim mengangguk laju. Songkok hitam di kepalanya hitam kain baldu. Baju batik yang tersarung di tubuhnya terasa selesa. Tambahan pula dielus angin perlahan di ruang hadapan kediaman Yasmin Zulaikha. Teh dalam cawan masih panas, mengeluarkan asap nipis yang kemudian hilang disapu angin. Piring berisi bingka ubi belum berusik.

Tetapi dia tidak ghairah untuk makan. Hatinya lebih girang hendak bercerita mengenai perancangan yang dibuat.

“Aku baru balik mesyuarat jawatankuasa tertinggi homestay. Dengan Encik Rohaizat sekali. Kita perlukan sebuah rumah yang cantik dan kemas sebagai rumah contoh. Kami mengundi. Rumah ini yang terpilih!” Lancar terang Alang Karim menjelaskan.

“Alasan?” Yasmin cepat meningkah.

“Rumah ini ada nilai sejarah. Rumah paling lama di sini. Kamu sendiri patut tahu. Tak begitu, Che Jah?” Alang Karim berpaling pada emak Yasmin pula.

Che Jah terkedu, tetapi kemudian mengangguk lambat-lambat.

Nilai sejarah!
Semua orang kampung tahu. Alang Karim pun tahu, rumah peninggalan Allahyarham Basri, abah Yasmin itu memang sudah lebih 50 tahun usianya. Susun kerawangnya pada perabung rumah yang diukir oleh tukang kayu kelahiran Tanah Jawa.

Sudah tiga generasi tetapi masih dikekalkan sehingga kini kerana itulah antara identiti yang menjadi simbol pengenalan bagi kediaman kesayangan pemilik rumah ini. Yasmin dan abangnya, Yasin, generasi ketiga dan dua beradik itu pernah seakan-akan berikrar tidak mahu meminda apa yang telah ada.

Rumah ini bukan sekadar sarat nilai sejarah. Tetapi rumah ini juga perlindungan. Itu juga pernah ditegaskan Allahyarham Basri pada Alang Karim ketika hayatnya masih ada dahulu. Rumah ini bermakna perlindungan dan melindungi. Jaga dengan baik, lindungi dan sayangi dengan baik.

Justeru Alang Karim rasa tidak salah jika rumah yang kini didiami anak isteri Allahyarham Basri, dijadikan sebagai contoh kepada para tetamu nanti!

“Aku harap kamu jelas tentang perkara tu. Nanti TPM nak melawat sini. Jadi buatlah apa yang patut…”
Che Jah diam tidak bersuara. Matanya terhala pada kereta Kancil yang diam di halaman. Di sebelah kereta Kancil anaknya itu, ada kereta Proton Wira Alang Karim. Dalam kepala, entah apa yang difikirkan.

“Kalau TPM datang melawat, semua tempat dalam rumah kami, dia mesti tengok?” Giliran Yasmin Zulaikha bersuara.

“Agaknya…”

“Termasuk bilik tidur?”

“Hisy!” Alang Karim meningkah.

Che Jah, dia lihat mengisar duduk beberapa kali. Ada riak tidak senang pada wajahnya. Dia cepat menangkap maksud yang terkirim pada wajah sepupunya itu. Dia tahu Che Jah tidak gemar jika orang asing masuk ke tempat yang tidak sepatutnya dalam kediaman. Che Jah yang terkenal tertib itu memang cerewet orangnya.

“Tempat yang sepatutnya saja. Bilik tidur tetamu itu tentu mereka nak jengah. Tunjukkan bahawa kamu sediakan bilik yang selesa. Itu jadi imej nanti,” lancar Tok Ketua Alang Karim menjelaskan.

Yasmin Zulaikha tergelak-gelak sudahnya. Mungkin ada lucu menyuntik ke hati. Alang Karim sengaja memasamkan muka. Anak gadis itu kadangkala gemar sekali menyakatnya. Suka melihat dia kelam-kabut.
Tetapi dia juga tahu - itulah sikap keluarga Che Jah yang ada bau-bau bacang dengannya itu. Keselesaan tetamu - itu yang menjadi amalan Che Jah dan Allahyarham suaminya, Basri. Sudah tentu itu juga yang selalu dipesan-pesankan pada anak-anaknya, jika tetamu datang, berikan layanan dengan baik. Biar tetamu selesa dan rasa seperti berada di rumah sendiri. Adab dan akhlak tuan rumah mesti dijaga. Jangan sampai tetamu rasa tersingkir dan asyik teringat hendak balik kerana layanan yang tidak baik.

“Berapa ramai yang akan datang nanti?” Lamunannya bertingkah dengan soalan Che Jah.

Alang Karim terdiam sejenak, barangkali cuba mengutip kembali fakta penting yang dikutip daripada mesyuarat beberapa jam tadi.

“40 orang lebih kalau tak silap. Satu bas gamaknya. Pihak Kuala Lumpur yang uruskan semua.”

Diam lagi. Che Jah seperti kehabisan idea, mati kutu hendak bertanya lagi. Tetapi wajahnya seperti tidak tenang dan ada kebimbangan. Dalam hati, dia menghitung debar yang tidak terhingga.

“Heh, kamu jangan risau sangat, Che Jah. Aku tahu si Yasmin ni pandai menguruskan semua!” Alang Karim memandang muka Yasmin pula. Menombak mata Yasmin, bagaikan mahu gadis itu menjawab dengan pasti.
Gadis itu cuba mengawal senyuman. Senyumannya terasa pahit. Kata-kata Alang Karim bagaikan suatu cabaran maha payah untuknya.

“Kamu dah bersedia, Min?”

“Insya-Allah Tok Alang. Azlan pun ada nanti, bolehlah dia tolong saya apa yang patut,” Yasmin membalas.

“Eloklah tu. Sia-sia belajar sampai ke universiti, kalau benda begini pun dia tak tahu buat!”

Puas hati Alang Karim dapat melantunkan kata-kata itu. Dia mahu Si Yasmin itu terasa berbahang dengan nadanya. Mungkin mulutnya sedikit bisa pada gadis yang baru hendak kenal dunia luar itu. Itu cara dia memberi motivasi. Keras dan tegas. Dia tidak mahu gadis itu jadi seperti anak-anak muda lain yang rapuh dan mudah patah kerana ditiup angin cabaran.

Dia malah mahu melihat Yasmin Zulaikha tegak kukuh. Kerana itulah tugasnya sebagai orang tua, yang menerima amanah daripada Allahyarham Basri untuk menjaga keluarga itu selepas arwah meninggal dunia beberapa tahun lalu.

“Kamu faham?” Dia sengaja meninggikan suara sedikit.

“Faham Tok Alang!” Gadis itu pantas menyambut.

Ada senyuman di bibir mekar anak gadis itu.

Ada senyuman puas juga di hati Alang Karim.

No comments: