Tuesday, June 10, 2008

Bukan Yang Pertama (Siri 2)

DI HADAPAN rumah emak, rumah pusaka sebenarnya, yang sudah berusia lebih 50 tahun itu, dia berdiri. Ada pelbagai rasa mengisi hati. Ada cuak bertamu, tetapi ada juga ragu masih bersisa.

Namun jauh di sudut hati, dia sudah bersedia menjalankan tugas! Demikian dia memasang tekad paling dalam di ufuk hati.

“Program homestay juga menyumbang pada ekonomi negara. Jangan pandang rendah pada bisnes ini. Kita tekankan pada ciri-ciri tempatan yang ada di tempat berkenaan. Kita bangunkan dan promosi pada pelancong.”

Dia ada membaca mengenai kenyataan itu dalam akhbar. Kenyataan itu dibuat oleh seorang orang kenamaan. Dia buat penyelidikan awal ketika menyatakan persetujuan untuk ikut serta.
Pelancongan bukan budaya asing. Tahun ini, tahun melawat negara - sudah diuar-uarkan sejak tahun-tahun lepas lagi. Melancong selalu dikaitkan dengan budaya mewah. Tetapi pelancongan berkonsepkan homestay adalah suatu kelainan. Sesuatu yang baru di negara ini tetapi di beberapa negara luar, ia bukan asing. Tentunya masih janggal bagi warga desanya yang hendak mencuba untuk pertama kali.

Rata-rata warga desa yang dipilih dan ditawarkan peluang ikut serta mula menunjukkan komitmen dan ghairah. Ini perkara baru bagi mereka. Walaupun mereka sudah biasa mendengar mengenai pelancongan homestay tetapi ini kali pertama mereka terbabit sendiri.
“Ada ke pelancong yang nak datang kampung kita?” Haji Karia melontar pertanyaan. Jelas pada raut wajahnya, dia masih tidak jelas arah pedoman yang hendak dibawa dalam program ini.
“Ada. Siapa kata tak ada? Pelancong sekarang hendakkan kelainan. Mereka hendak tengok dan rasa keadaan yang mereka tak dapat di tempat mereka. Kita akan beri kelainan itu,” Datuk Kasa yang bertindak menjawab kemusykilan itu.

“Kelainan apa? Apa yang ada di kampung kita? Sunyi saja…” Haji Karia masih bingung mahu mengaju pertanyaan.

Datuk Kasa tersenyum. Ramah wajahnya menyambut soalan-soalan orang kampung yang masih keliru butir perancangan dan buntu pokok pangkal.

“Kita sedang merangka beberapa projek industri desa yang akan dimasukkan dalam senarai. Kita akan bawa pelancong melihat sendiri cara orang kampung menjana pendapatan. Orang kampung juga ada banyak aktiviti menarik. Aktiviti marhaban, berzanji, memancing di sawah, panjat kelapa, biasa bagi kita, tapi asing bagi orang luar. Ini yang hendak kita promosikan. Kita promosikan cara hidup kita!” panjang lebar hujah Datuk Kasa.

Skil politiknya memang tidak pernah hilang. Walaupun selepas tidak lagi menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Datuk separuh usia yang kini aktif dalam hal-hal kebajikan itu, masih akrab dengan orang kampung. Mungkin kerana pengaruhnya, orang kampung mudah lembut hati apabila diajak menyertai program ini.

“Macam mana kalau dapat pelancong orang putih? Mak long bukannya pandai cakap orang putih? Yes no, yes no, sajalah jawabnya,” Mak Long Zakiah pula meluah bimbang.

“Eloklah kalau pelancong orang putih. Mak long dapat anak angkat orang putih. Belajarlah dari dia nanti. Pandailah mak long nanti,” Abang Malik mengusik Mak Long Zakiah. Bergegar ketawa rakan-rakan yang mendengar.

Encik Rohaizat, wakil pelancongan negeri yang ada bersama dalam sesi pertemuan dengan warga desa tersenyum. Tergeleng-geleng. Cuba menenangkan bakal pemaju homestay.

“Jangan risau sangat tuan-tuan dan puan-puan. Jangan terlalu beratkan soal bahasa. Insya-Allah, kami akan bantu dari segi itu. Untuk peringkat awal ini, tuan puan sediakan kemudahan asas yang lengkap. Itu yang penting sebagai persediaan menerima tetamu.”

Sidang kursus terangguk-angguk lagi. Mereka lebih banyak mengangguk daripada menghulurkan soalan. Kadangkala gelagat mereka yang seperti burung belatuk itu buat Yasmin terhibur memerhati.

Menerima tetamu. Yasmin masih ingat mengenai adab menerima tetamu seperti yang pernah dia pelajari. Melayan tetamu dengan baik amat diberatkan dalam agama. Tiga hari pertama amat penting. Selepas itu, jika layanan baik berterusan, itu dikira sedekah.

Maka untuk tujuan memberikan keselesaan yang seadanya, Abang Yassin memberi modal awal padanya. Rumah emak dan Allahyarham abah perlu diperbaiki sedikit, ditatah cat baru dengan warna yang lebih segar. Halaman dibersihkan, pohon siantan yang menjadi pagar keliling kediaman dirapikan. Ditambah taman mini yang disuburkan dengan bunga melur, mata kucing, kenanga dan pohonan renek panca warna. Wakaf yang sudah terkopak bumbung di sudut halaman diganti baru.

Rumah besar mereka punya lima bilik. Abang Yasin sudah berkeluarga, sudah punya kediaman sendiri. Yang tinggal hanya dia dan emak di sini. Bilik emak dan dia kekal seperti biasa. Satu bilik diduduki Anis, satu lagi didiami Azlan apabila anak muda berdua itu balik bercuti. Dua adik kesayangan itu jarang-jarang ada di kampung. Anis belajar di kolej swasta di Petaling Jaya. Azlan pula di Universiti Utara Malaysia. Jadi bilik mereka bila-bila sahaja boleh digunakan tetamu.
Sebuah bilik yang tinggal akan dijadikan bilik yang lebih istimewa. Diperelokkan supaya tetamu yang bertandang rasa lebih selesa. Begitu juga dua bilik air dan dua tandas yang ada di kediaman mereka, turut diberikan keutamaan.

Dia teringat tiba-tiba mengenai kempen tandas yang kerap diperkatakan dalam televisyen. Kebersihan tandas itu sekali gus mencerminkan keperibadian pemilik. Sedikit melucukan tetapi ada kebenarannya. Dia terhimbau juga pesanan Datuk Kasa dalam perbualan singkat dengan bekas ahli politik itu.

“Tandas - orang mungkin nampak remeh. Tapi sebenarnya sangat penting. Dari situlah, orang luar boleh tahu amalan kebersihan kita, sama ada kita ini orang yang pengotor atau pembersih. Jadi jangan main-main hal ini,” pesanan itu terlekat kuat di hatinya.

Dan dia tersenyum ketika mengingati cerita Datuk Kasa ketika dia pernah ditugaskan sebagai salah seorang urus setia bahagian protokol dalam suatu majlis yang tidak kurang penting suatu ketika dahulu. Perkara utama yang akan dilakukan Datuk Kasa setiap kali dia diberitahu ada tetamu luar yang akan datang bersidang, adalah memastikan tandas di bangunan persidangan bersih dan berfungsi elok!

Datuk Kasa yang rupa-rupanya adalah sahabat sepersekolahan Allahyarham abah ada mengucapkan tahniah dan syabas padanya. Dia peserta paling muda dalam program itu.
“Susah hendak jumpa orang muda dalam program ini. Semua orang muda lari ke bandar, pergi Kuala Lumpur, hendak kerja di sana. Tapi awak lain.”

“Saya pun macam mereka juga, Datuk!” Balasnya bersahaja. Datuk Kasa tergemam dalam wajah terpinga.

“Tapi saya tak dapat kerja di Kuala Lumpur. Saya balik kampung dan dimaklumkan ada program ini. Jadi saya ikut…” dia melanjutkan bicara, tidak mahu membiarkan Datuk itu ternganga terus.

“Oh! Baguslah juga begitu. Awak, orang muda patut ambil peluang ini,” Datuk Kasa sempat memberi dorongan.

Yasmin tersenyum. Sebahagian hatinya terasa puas. Dia bangga. Rumah emak akan menamatkan zaman penganggurannya. Rumah pusaka peninggalan Allahyarham abah ini akan menjadi pejabatnya selepas ini.

“Buat apa tuan rumah?”

Terkejut dia kerana disergah. Abang Yassin di belakang tersengih.

“Dari mana ni? Tak tahu nak bagi salam?”

Kakak iparnya, Kak Miah termengah-mengah membontoti Abang Yassin sambil mendukung anak bongsu, Jaja, yang merengek-rengek dalam wajah merah bekas tangisan.

Maya, si tengah yang berusia empat tahun menurut di belakang sambil menarik-narik hujung baju emaknya, membuatkan si emak tersangkak-sangkak berjalan dan sesekali memarahi si anak.

Sementara di belakang sekali, Mizi, yang berusia enam tahun terkedek-kedek berlari, membawa sebiji bola.

“Tengok abang ni, langsung tak tahu nak tolong Kak Miah. Perempuan selalu jadi mangsa!”

“Abang Yassin kamu ni memang!” Kak Miah meluru ke arah pintu dapur. Disambut emak di sana, langsung mengambil si Jaja yang sudah mula melolong pula. Entah budak itu mengantuk kerana tidak cukup tidur, entah dahagakan susu atau kelaparan tidak disuapkan makan ke mulutnya.

Kedengaran emak dan Kak Miah saling bertanya-tanya khabar. Sejenak mereka hilang di dapur.

“Rumah pun nampaknya ada perkembangan menarik.”

“Alhamdulillah…”

“Bila terima tetamu?”

Yasmin memandang muka abangnya.
Jeda sejenak.

“Dua minggu lagi.”

Abang Yassin renung tepat wajahnya.

“Dah sedia, tuan rumah?”

Ada pandangan menguji dalam mata itu.

“Insya-Allah!”

No comments: