Tuesday, June 10, 2008

Bukan Yang Pertama (Siri 1)

Orang mungkin pernah mengatakan dia gila. Barangkali tidak sampai ke peringkat gila. Tetapi mungkin orang mengatakan dia tidak betul, sasau, senteng atau sewel. Dia tidak kisah.

Dia rasa tindakannya wajar. Dia lakukan semua itu selepas melakukan istikharah, selepas bertanya Yang Maha Esa dan mohon petunjuk daripadanya. Memang itulah yang dia lakukan. Dan dia beroleh petunjuk.

Mungkin petunjuk yang diperoleh tidak dalam bentuk yang jelas. Tetapi selepas tiga malam berturut-turut melakukan solat istikharah, yang dimulai dengan solat sunat taubat mohon dibersihkan hati, solat tasbih, dan disusuli solat istikharah, dia terasa jiwanya tenang. Dia amat pasti, hatinya cenderung pada rancangan yang ada dalam kepalanya.

Dia pasti, dia melakukannya selepas beroleh petunjuk Allah. Dia masih ingat pesanan seorang pensyarah kesayangannya dahulu, solat istikharah bukan ketika kita dalam dilema sahaja. Tetapi juga ketika kita hendak melakukan sesuatu. Kita pohon petunjuk Allah, minta Allah permudahkan. Itulah sebenarnya. Kita lakukan sesuatu dengan restu Allah, maka insya-Allah segala perancangan akan dapat dijalankan dengan berkat.
Dan dia yakin, dia telah beroleh jalan yang dimahukannya!

“Sungguh-sungguh nak buat?”

“Insya-Allah.”

“Apa pula insya-Allah, insya-Allah? Itu macam tak yakin dengan diri sendiri!”

Dia mendengus dalam hati. Tidak puas hati, campur terkilan juga.
Itu satu lagi tanggapan salah. Mengapa kata insya-Allah selalu disalahertikan dengan tidak yakin dan lebih berat kepada tidak jadi? Menjadi seolah-olah satu alasan untuk melepaskan diri daripada sesuatu komitmen.

“Salah cara Tok Alang berfikir tu. Kata insya-Allah tu bermaksud dengan izin Allah, berat pada ya! Saya sungguh-sungguh nak buat. Dengan izin Allah, melalui kesungguhan dan azam yang saya ada ni, akan jadi semua ini!” Dia membalas lembut dalam tenang. Melirik sekilas pada emak yang tekun mendengar perbincangan mereka di bawah wakaf berbumbung robek di halaman kediaman mereka.

Alang Karim terdiam. Orang tua separuh usia itu termalu sedikit. Tetapi kemudian dia tergelak kecil. Sempat menjeling pada emak yang sedang menahan senyuman. Sesekali dia terasa diakal-akalkan oleh budak perempuan seorang itu!

Tanggungjawab

“Hmm, betullah kata kamu tu! Aku bukannya apa, ramai sangat orang gunakan kata insya-Allah sebab nak lepaskan diri daripada tanggungjawab…”

“Itu orang, bukan saya…” Tersenyum nakal sikit dia.

“Baik, berbalik pada perbincangan kita tadi. Aku tak keberatan kalau kamu sungguh-sungguh. Tapi elok juga kamu ambil bahagian. Boleh jadi contoh pada orang muda lain,” Alang Karim sedikit serius.

“Untuk peringkat awal, memadai kalau saya boleh jadi contoh pada diri sendiri, Tok Alang! Tapi saya betul-betul harapkan bimbingan dari Tok Alang. Tok Alang sebagai orang lebih tua, ketua kampung pula tu, tentu lebih tahu apa yang terbaik.”

Alang Karim terjeda. Terasa ada amanah terbeban di pundaknya mendengar kata-kata bernada pengharapan itu. Dia renung anak muda di depannya itu. Semacam mahu mencari kepastian bahawa anak muda itu memang benar-benar mahu memikul amanah.

“Yasmin Zulaikha, kalau kamu percaya pada diri kamu sendiri, maka Tok Alang pun akan percaya pada kamu!”

Itu keyakinan sekali gus kepercayaan tepu padat yang diberikan Tok Ketua Alang Karim padanya!
Dia hanya mahu melepaskan dirinya daripada belenggu pengangguran. Dia bergraduat dari Universiti Malaya dengan ijazah sarjana muda syariah lebih setahun lalu.

Beberapa permohonan kerja di agensi kerajaan dan berkanun seperti menyepi terus. Dia enggan berkira dan terlalu memilih. Sekali pun kerjaya yang tidak relevan dengan ijazah, dia tetap memohon. Semuanya masih bisu.

Di Kuala Lumpur, dia cuba memburu kerjaya tetapi barangkali dia ditakdirkan termasuk dalam jumlah 80,000 graduan yang menganggur seperti yang dilaporkan media. Dia cuba menepis tanggapan media yang mengatakan para graduan ini terlalu naik lemak, terlalu dimanjakan dan terlalu memilih kerja.

Dia tidak memilih. Kerja kerani merangkap pembantu pejabat, merangkap tea lady pun pernah dia cuba minta. Tetapi barangkali kerana dia memiliki segulung ijazah, maka syarikat yang menawarkan kekosongan jawatan tea lady itu ‘gerun’ hendak menerimanya.

Hakikatnya dia sengaja meninggalkan ijazahnya tetapi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bertahun-tahun lalu yang dikepilkan dalam surat permohonan, menjadikan si penemu duga cuak. Mustahil SPM cemerlang tetapi sijil terbiar begitu saja. Pegawai sumber manusia yang jadi penemu duga mengasaknya (dengan sengaja, dia tahu) dengan soalan-soalan provokasi dan dia sememangnya malas hendak berputar belit dan bersilat kata lagi.

“Memang saya ada ijazah. Buat masa sekarang, saya mencari kerja. Ini bukan yang pertama. Dah banyak kerja saya minta tapi belum sangkut. Tapi saya tak kisah kalau dapat kerja di sini. Kalau saya diterima, saya akan bertugas dengan rajin dan melakukan tugas dengan baik dan amanah pada kerja saya,” katanya tidak berselindung.

Penemuduga merenungnya dalam-dalam. Kemudian tersenyum. Senyuman sinis, dia tafsirkan. Barangkali penemu duga itu sudah muak dan letih mendengar ‘jawapan skima’ yang lebih kurang sama sahaja bunyinya daripada mulut setiap calon yang ditemu duga.

“Awak ada ijazah. Kerja bancuh teh pun tak apa?” Pegawai itu tersenyum-senyum perli.
“Bancuh teh pun kerja juga. Dapat gaji yang halal. Walaupun saya ada ijazah tapi saya pandai bancuh teh, kopi, Milo, Nescafe. Semua anggota keluarga saya puji, minuman saya sedap!” Selamba dia membalas, membuatkan si penemuduga ternganga terdiam.

“Bijak awak menjawab. Tak apa, nanti kami hubungi…” Si penemuduga mula tunjuk muka bosan padanya.

Dia pun sudah bosan jelak mendengar jawapan begitu. Dia tahu dia bijak dan barangkali kerana bijak, maka dia tidak beroleh kerjaya yang dipohon! Dia tidak berniat menyindir tetapi sekadar muak dengan pandangan skeptikal orang terhadap graduan muda sepertinya. Graduan yang selalu dianggap memilih kerja, mengada-ada dan terlalu bergantung harap pada kerja kerajaan.

Emak merungut-rungut apabila mendapat tahu dia cuba memohon jawatan-jawatan yang tidak setimpal dengan ijazah miliknya. Bukan rungutan yang pertama. Sudah kerap benar.

“Tak berbaloi. Belajar tinggi-tinggi di universiti, nak jadi pembantu pejabat, tukang bancuh teh.”

“Kerja juga namanya tu, mak…” dia membalas selamba.

“Carilah yang senonoh sedikit!” tingkah emak tidak puas hati.

“Senonohlah tu. Kalau merompak, mencuri, membunuh orang, menjual diri - itu baru tak senonoh!” Dia enggan mengalah.

Hujah

Tersenyum-senyum dia melihat emak mendengus kerana kalah tidak boleh menjawab hujahnya.
Abang sulung, abang tunggalnya, Abang Yassin masuk campur pula.

“Ikut kerja dengan aku. Jadi kerani aku. Senang sikit. Kak Miah bukannya boleh tumpu 100 peratus pada kerja. Dengan budak-budak, dia tak menang tangan,” Abang Yassin, yang digelar Tauke Lembu memberi cadangan.

Terdiam dia. Serentak terbayang lembu-lembu milik abangnya yang selalu mengeruh di kandang. Jadi penggembala lembu? Mencontohi Liyya dan Saffura, puteri Syuaib dari Madyan yang pernah dia baca dalam sirah? Dia tersenyum geli hati.

“Nanti Min fikir,” dia ambil jalan mudah terlebih dahulu.

Terbayang pula sikap Abang Yassin yang selalu panas baran.
Bolehkah dia bekerja dengan abangnya itu?
Tetapi belum sempat dia berfikir, Tok Ketua Alang Karim datang membawa cadangan. Katanya, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan mereka dahulu, Datuk Kasa sedang mengusahakan suatu projek yang bakal memberikan pulangan pada warga desa. Tok Ketua sebenarnya menawarkan pada emak supaya menyertai program berkenaan. Emak keberatan menerima dengan alasan tidak kuat dan kurang sihat.

“Min mahu. Biar Min yang terima. Emak berikan izinkan saja. Sebab ini rumah dan tanah mak.”

“Rumah dan tanah mak ini akan jadi milik Min…”

“Jadi mak izinkanlah ya. Terima kasih.”

Dia mengucap syukur dalam hati.
Dia tidak akan bergelar penganggur lagi.

No comments: