Tuesday, June 10, 2008

Bukan Yang Pertama (siri 3)

“Ada beberapa orang masjid bising-bising. Macam-macamlah. Ada saja yang mereka tak puas hati!” Emak bersuara tanpa memandang wajah Yasmin.

Tangan emak cekatan pada jarum dan kain di tangan. Matanya juga tekun terfokus ke sana. Menjahit tulang belut baju kurung pesak gantung, entah milik siapa.
Yasmin berpaling dari kaca televisyen. Wajah sedikit tertanya. Rancangan National Geographic sedang ke udara. Menarik paparan kali ini tetapi bicara emak buat dia terganggu.


“Apa mak?”

Kali ini emak letakkan baju kurung ke atas riba. Merenungnya, bersahaja.

“Pasal projek yang Min ikut inilah. Ada orang kampung bising-bising. Kata mereka, benda tak ikut syariat. Bawa pengaruh buruk pada anak-anak kampung.”

“Siapa yang cakap?” Yasmin tambah berminat.

“Siapa lagi? Pak Isa itulah.”

Yasmin terjeda. Dalam kepala, cuba membayangkan wajah Pak Isa yang dimaksudkan. Orang tua kurus bertubuh melengkung, berwajah serius dan selalu berkopiah putih itu ada bau-bau bacang dengan Allahyarham abah. Tetapi secara peribadi, hubungan kekeluargaan mereka tidak akrab.

Ketika abah masih ada, ada sesekali Pak Isa itu datang bertandang jika ada kenduri-kendara tetapi tidak pernah sudi berlama-lama. Datang sekadar menunjukkan muka, bercakap hendak tidak hendak, kemudian tergesa hendak pulang. Tetapi sejak abah berpulang ke rahmatullah, Pak Isa tidak pernah lagi bertandang. Peliknya dengan semua anggota keluarga mereka, terus bagaikan berseteru.

“Pelik si Isa tu. Semua orang tak betul pada dia,” suara emak kembali membawa dia ke ruang hadapan televisyen kediaman mereka.

“Mana emak tahu?”

“Tadi Kak Miah kamu cakap. Dia pun mendengar cerita jiran. Katanya, Pak Isa tu cakap dalam kuliah Maghrib di surau!”

Yasmin tercenung.

Berfikir sejenak. Ini bukan keanehan tetapi sepatutnya tidak berlaku.

“Katanya, nanti kalau orang luar datang, akan mencemarkan kampung. Bawa budaya liar pada anak-anak muda di sini,” suara emak tenang mencecah deria telinganya.
Yasmin menelinga, menilai dan menganalisis.


“Dahulu mengapa dia tak bercakap begitu pada Tok Ketua. Biar Tok Ketua sampaikan pada Datuk Kasa. Sekarang, waktu projek hendak berjalan, pandai pula dia komplen itu ini,” suara emak masih tenang. Kembali mengarah perhatian pada jahitan tulang belutnya.

“Tak faham betul mak orang macam tu!” Dia mendengar lagi suara tidak puas hati emak sebelum emak tersayang bangun membawa kainnya ke bilik khas yang menempatkan peralatan jahitan.

Kemudian kedengaran pula bunyi deruman mesin jahit berfungsi.
Sejenak ingatan Yasmin terlayang daripada televisyen di hadapan. Kata-kata Pak Isa bahawa apa yang bakal mereka kerjakan tidak menepati syariat sedikit sebanyak mengganggu daya fikirnya. Benar-benarkah apa yang dilakukannya tidak menepati syariat?


Dia cuba gali kembali segala yang pernah dipelajari lewat pengajian di kampus dahulu. Bagaikan masih terngiang-ngiang di telinga, akan petikan ayat suci Ustazah Dr. Hayati ketika memetik surah ar-Rum ayat 42 yang bermaksud: Katakanlah, berjalanlah kamu di muka bumi, kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang yang telah lalu (yang telah dibinasakan), kebanyakan mereka adalah orang yang musyrik.

Kata Dr. Hayati, ayat itu boleh jadi panduan yang jelas mengenai galakan supaya orang Islam mengembara, melawat ke tempat bersejarah dan mengambil iktibar daripada sejarah silam. Jelasnya lagi, sejarah bukan untuk diabaikan tetapi untuk dipelajari supaya sejarah pahit itu tidak berulang.

Tetapi apa pula dalam konteks homestay yang akan dilaksanakan ini? Dia tertanya sendiri.
Kalau memang benar apa yang ingin dilakukan tidak menepati syariat, dia dengan rela menarik diri. Dia tidak mahu jadi sumber fitnah dan merosakkan diri sendiri. Dia cukup sedar akan hal ini.


Yakin

Tetapi sebahagian daripada hatinya sudah cukup yakin dengan pandangan yang diberikan oleh pensyarah kegemarannya itu. “Pelancongan selalu dikaitkan dengan punca kemaksiatan. Sejak sekian lama, pandangan itu tidak berubah dan semakin berakar umbi dalam pemikiran kita. Ini yang silapnya orang kita...”

Dia termenung memikir.

“Apa sahaja yang kita lakukan mesti jadi ibadah,” kata-kata itu kerap terngiang-ngiang dalam kepalanya.

Dia sudah menanam azam dalam kepala akan melakukan yang terbaik untuk kerjaya barunya ini. Ini bukan kali pertama dia berazam. Sudah kerap sangat dia mengingatkan diri dan meniup motivasi ke jiwa sendiri. Dia memang bersemangat benar dengan projek ini.
Bukan dia seorang saja. Adiknya Si Azlan semalam menelefon, memaklumkan dia akan balik kampung sempena program pelancaran program homestay itu. Siswa tahun satu Pentadbiran Perniagaan di utara itu seronok benar mendengar cerita si kakak bakal menerima pelancong.


“Harap-harap Kak Min dapat pelancong orang putih, perempuan, muda dan cun,” gelak nakalnya di hujung bicara.

“Hisy! Tak elok niat Azlan tu!”

Azlan ketawa besar.

“Lan guraulah, kak. Selamat berjaya untuk kakak ya. Nanti kita jumpa.”

Yasmin bangun menurut langkah ke bilik kerja emak. Melihat ibu tersayang tekun menjahit menggunakan mesin lama yang sudah berjasa padanya sejak dia berusia 18 tahun. Pernah emak buka cerita, mesin itu hadiah bapanya, Allahyarham atuk selepas dia berjaya menamatkan kelas jahitan. Anak-anak gadis zaman zaman 50-an, tidak diizinkan lepas laku.

Tetapi datuk begitu berfikiran terbuka dan melepaskan anak gadis tunggalnya belajar di luar selama beberapa bulan. Walaupun pergi berhantar dan balik dijemput, ia tetap suatu kebebasan. Dijanjikan sebuah mesin jahit jika lulus dengan baik supaya dapat bekerja dari rumah. Dan mesin jahit ini terus berjasa, lebih 20 tahun lamanya.
Dengan mesin jahit ini, emak membantu abah membiayai perbelanjaan rumah mereka, mencukupkan apa yang kurang dan memberikan lebih keselesaan pada anak-anak.


“Mak...”

Yasmin duduk di kerusi bulat di sebelah mesin jahit emak.
Emak tidak membalas sapaannya. Tetapi dia tahu emak sedang mendengar dengan tekun apa yang bakal dia luahkan.


“Mak rasa elok ke keputusan Min masuk program ni?” Dia hati-hati meluahkan pertanyaan.
Emak tidak membalas. Masih tekun dengan tugasnya. Lima minit berlalu dengan hanya derum mesin jahit emak sahaja. Lima minit berakhir dan emak menoleh memandang wajahnya.


“Apa niat Min masa Min buat keputusan masuk ke program ini dulu?” Emak kembali melontar soalan padanya. Dia sedikit terkedu mendengar.

Beberapa saat dia terjeda.

No comments: