Monday, July 21, 2008

Bukan Yang Pertama (Siri 5)

BERANGKAT dari kediaman Yasmin Zulaikha, Alang Karim bercadang hendak balik terus ke rumah. Tetapi di pertengahan jalan, dia teringat pesanan anak perempuannya, Intan Maziah meminta supaya membelikan sesuatu.

Langsung dia membelok ke kawasan penjaja, memberhentikan Proton Wiranya tidak jauh dari gerai Hamdan yang kelihatan masih kosong.

Jam baru pukul 4.30 petang. Dan dia tahu Hamdan baru hendak memulakan operasi niaga bihun sup utaranya. Selalunya kedai makan kecil itu akan berlanjutan sehingga 12 tengah malam. Keenakan bihun sup utara air tangan Hamdan memang sedia dimaklumi warga desa dan desa kejiranan.

“Awal hari ini, tok ketua?” Dia disapa anak muda itu. Tok Ketua Alang Karim tersengih.

“Singgah sekejap. Buatkan aku bihun sup tiga bungkus. Anak aku Si Intan tu sejak semalam menyebut nak makan bihun sup kamu…”

Alang Karim ambil tempat di kerusi. Dia terdengar Hamdan mengarahkan pembantunya menyediakan pesanan. Sejenak matanya melingas memandang kawasan keliling yang sedap mata memandang. Meja bersusun kemas, dihiasi bunga sekuntum dalam pasu mini. Jarinya menyapu sekilas permukaan meja. Tidak berminyak. Ada rasa puas menyelinap ke hati. Dia puas dengan cara anak jati Desa Sempadan berniaga.

“Tok Ketua dari mana? Bukan main segak lagi berbaju batik ni. Nak makan apa-apa sementara menunggu?”

Hamdan sudah kembali ke sisinya, menarik kerusi dan meletakkan punggung.
Alang Karim menoleh.

“Eh, tak payah! Masih kenyang lagi ni!” Dia cepat-cepat membalas.

Di hujung lidah, bagaikan masih terasa keenakan bingka ubi yang dinikmati di rumah Yasmin Zulaikha tadi. Malah kuih kegemaran isterinya itu juga turut dibekalkan tuan rumah itu untuk anak isterinya.
Mereka berbual ringkas. Alang Karim tidak keberatan bercerita serba sedikit mengenai mesyuaratnya yang berlangsung sejak pagi tadi yang kini sudah membawa ke waktu Asar. Hamdan terangguk-angguk mendengar. Tumpang bangga dengan usaha warga kampung. Dia juga sebenarnya tidak sabar-sabar hendak melihat hasil daripada perancangan tersebut. Ini sesuatu yang baru, pasti mencatat sejarah di desa mereka.

“Elok juga usaha ni. Taklah kampung kita ni tertinggal sunyi saja. Tok Ketua pun dapat tengok kan, dah tak ramai orang muda di sini. Kalau nak meriah pun, hanya waktu raya.”

Alang Karim menelinga. Dia sedar akan hal itu. Sebagai ketua kampung, dia hanya mampu memerhati seorang demi seorang anak muda desa menyingkirkan diri. Tangannya tidak mampu berbuat apa-apapun. Anak-anak muda itu lari kerana di desa ini tidak apa-apa yang bernilai untuk mereka. Mereka lari untuk mencari kehidupan yang lebih baik di bandar.

Hatinya perit sayu melihat semua itu. Desa mereka kecil sahaja. Dia tahu setiap ceruk desa. Dia kenal semua orang. Setiap mereka bagaikan bersaudara. Dia tidak rela melihat anak-anak buahnya melarikan diri seorang demi seorang. Jiwa tuanya tersinggung tetapi apa dayanya hendak mengubah itu semua.

Tetapi kali ini dia seakan-akan melihat ada cahaya di hujung terowong. Datuk Kasa membuka jalan. Setiap kali bertemu dengan bekas Adun itu, dia selalu menyatakan kebimbangan melihat keadaan desa yang semakin hari semakin sepi. Yang tinggal hanya orang tua yang tidak kuasa lagi hendak ke mana-mana dan kanak-kanak serta remaja yang sedang memasang angan-angan untuk berhijrah apabila sampai masa.

Malah anak bongsunya, Si Intan Maziah yang baru di tingkatan lima itu juga pernah memberitahu hasrat hendak terus bekerja di Kuala Lumpur jika cita-citanya melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya, tercapai. Dia tidak terkata mendengar cita-cita menggunung Intan kerana dia sendiri sedar dia tidak mampu menyediakan masa depan untuk anaknya di desa ini.

Tetapi kini dia semakin positif!

Alang Karim tidak sangka borak-borak di kedai kopi dengan Datuk Kasa akhirnya membuahkan hasil. Datuk Kasa menyedarkannya bahawa masih ada ruang untuk memulihkan keadaan. Sumber desa belum dimanfaatkan sepenuhnya. Anak-anak desa bimbang masa depan mereka kerana mereka menganggap desa tidak menyumbang apa-apa untuk masa depan mereka.

Bangunkan sumber ekonomi di desa, jika mahu mengikat anak muda di sini. Mereka harus diinsafkan bahawa banyak punca rezeki yang belum diusahakan. Desa harus dikomersialkan jika mereka mahu anak-anak muda kekal. Minda mereka harus dibuka luas. Pembangunan tidak bermakna hanya berada di bandar. Pembangunan di desa juga terbentang untuk diteroka.

Dia juga sedar, perusahaan desa secara kecil-kecilan sudah ada. Perusahaan makanan dan berasaskan pertanian paling menguasai di Desa Sempadan. Masih tidak cukupkah?

“Memang tak cukup. Sebab budak-budak kita tak melihat itu sebagai kerja yang glamor. Ini masalah budak-budak kita. Lagi satu mereka nampak kerja itu dibuat oleh orang-orang tua. Dibuat di rumah pula. Tak nampak hebat pada mata mereka!” Itu reaksi Datuk Kasa.

“Jadi kita kena buat sesuatu supaya benda ni nampak hebat pada mata budak-budak muda ni?”
“Ya betul! Kena buat sesuatu!”

Alang Karim masih ingat, lama juga dia dan Datuk Kasa memperhalusi rancangan itu. Pandangan demi pandangan dan saranan demi saranan dikumpul, diteliti dan dicongak sebaik mungkin. Dia dan Datuk Kasa berbahagi tugas. Dia akan menyelia orang kampung.

Datuk Kasa pula akan berurusan dengan pihak kerajaan dan akan menggunakan pengaruhnya untuk meminta bahagian yang perlu.

Sekarang rancangan mereka hanya menunggu masa untuk direalisasikan. Dan selepas ini, Alang Karim sudah boleh bersenang hati jika segalanya berjalan lancar. Yang penting dia tidak harus bersusah hati lagi memikirkan desa yang semakin sepi. Yang perlu selepas ini ialah melatih beberapa orang muda yang dipercayai untuk mengambil alih tugasnya dalam menyeliakan program homestay.

Beberapa nama yang berpotensi sudah tercetak di kepalanya.

Dia sesungguhnya yakin pilihannya tepat.

Pembantu kedai Hamdan datang meletakkan pesanan di hadapannya mengganggu lamunan Alang Karim. Aroma sup menyucuk hidung, begitu menggamit selera. Terburu-buru dia mengeluarkan dompet dan mengambil duit untuk membayar. Sejurus kemudian agak tercangak-cangak dia mencari Hamdan yang sudah tiada di kerusi di sebelahnya.

“Hamdan!”

Hamdan terkocoh-kocoh dari belakang, datang bergegas apabila melihat tok ketua bersiap hendak beredar.

‘Maaf, tok. Saya kat belakang tadi.

Er, tok ada dengar apa-apa kebelakangan ni?” sedikit teragak anak muda pertengahan 30-an itu bersuara.

“Kenapa?”

“Er, cakap-cakap sumbang, tok. Tak sedap saya dengar.”

“Siapa yang baca cerita?”

“Pak Isa!”

No comments: