Monday, August 25, 2008

Bukan Yang Pertama (Siri 9)

Kunjungan orang besar

Dari jauh, suasana di padang kelihatan meriah. Setiap hari Jumaat, mulai jam 5 petang, padang itu jadi tempat penjaja pasar malam beroleh rezeki lebih. Hari ini, walaupun jam baru 3 petang, tetapi nampaknya suasana jadi lebih meriah berbanding setiap malam Sabtu. Separuh padang dipenuhi gerai-gerai yang berjualan produk desa. Suasananya tidak kalah seperti kemeriahan pasar malam setiap minggu.

Anak-anak remaja berpakaian seragam sekolah beratur sepanjang jalan memegang bendera kecil. Pasukan berpakaian seragam, Persatuan Bulan Sabit Merah, Puteri Islam, Pengakap dan Pandu Puteri juga sama meramaikan majlis. Kumpulan kompang sudah bersedia untuk memalu kompang. Kumpulan orang dewasa dari persatuan belia, yang lelaki berbaju Melayu, segak bersamping songket dan bersongkok sementara yang perempuan berbaju kurung, memegang bunga manggar.

Pentas utama berhias cantik bakal menerima kehadiran Timbalan Perdana Menteri beberapa minit lagi. Karpet merah sudah terhampar dari jalan masuk sehingga ke tangga pentas. Sesekali kelihatan anak-anak kecil berlari-larian hendak mencuba di karpet merah tetapi cepat dihambat orang dewasa yang berkawal di sana.

Tiga kanopi didirikan berhadapan pentas utama. Bertentangan pentas utama ditempatkan para tuan rumah ‘homestay’. Di sebelah kiri, kanopi yang menempatkan para tetamu jauh iaitu pelancong. Di sebelah kanan pula, kanopi untuk tetamu lain. Di hadapan mereka, kumpulan nasyid wanita seramai 10 orang sedang mengalunkan lagu-lagu irama ketuhanan dan patriotik.

Yasmin Zulaikha memerhatikan suasana - sesuatu yang amat baru bagi desa mereka yang sekian lama sepi. Dia dalam kumpulan pemaju ‘homestay’ yang bakal menerima sijil daripada Timbalan Perdana Menteri beberapa ketika nanti. Barisan sebelah sini untuk perempuan, sementara sebelah sana untuk lelaki. Lebih kurang ada 50 orang semuanya. Mudah dikenali kerana semuanya ‘berpakaian seragam’, yang perempuan berbaju kurung batik warna hijau, sementara yang lelaki berkemeja batik hijau dengan seluar hitam.

Mak Long Zakiah di sebelah kanannya, kelihatan berkipas dengan sebuah surat khabar. Kipas berpusing di bumbung kanopi tetapi masih tidak berjaya meredakan panas Mak Long Zakiah.

“Mak long panas. Berdebar-debar sama nak naik pentas, nak bersalam dengan TPM,” orang tua itu sempat melucu ketika dia ditegur teman sebelah menyebelah.

Berderai gelak tawa mereka dengan gelagat Mak Long Zakiah.

Matanya beralih pula pada kanopi di sebelah sana. Mencari-cari wajah Jason. Anak muda itu tidak datang bersamanya tadi. Dia lebih awal ‘dilarikan’ oleh Azlan menaiki motosikal kapcai milik Abang Yassin yang selalu dipinjam Azlan setiap kali anak muda itu balik kampung. Dia agak risau tadi apabila Azlan memberitahu hendak membawa Jason menaiki motosikal buruk itu. Bimbang dua anak muda itu tidak sampai di tapak majlis pelancaran.

“Lan jangan melencong ke tempat lain,” pesannya berkali-kali. Anak muda Mat Salleh itu baru jadi ahli keluarganya. Jika sesuatu berlaku, harus ‘masak’ dia menjawab!

“Lan tahu, Kak Min. Jangan risaulah. Jason tetamu kita. Lan tahulah nak jaga dia!” Anak muda itu cepat memberikan keyakinan.

Jason pula dia lihat begitu beria-ia mahu menumpang motosikal Azlan. Dua manusia itu dalam masa sejam dua sahaja tiba-tiba sudah jadi seperti kawan baik. Mahu tidak mahu, dia terpaksa melepaskan juga. Lama mencari wajah Jason di kanopi sebelah kiri, dia agak lega apabila ternampak anak muda itu bersama-sama teman pelancongnya yang lain.

Tok Ketua Alang Karim kelihatan tergesa mendekatinya.

“Yasmin, lepas ni ada wartawan nak interviu kamu. Kita jumpa di dewan jamuan selepas TPM melawat. Kamu bersedia tahu!” pesan orang tua itu sebelum berlalu pergi dalam langkah kelam-kabutnya.

Dia menarik nafas. Ditemu bual wartawan pula? Apa yang bakal ditanya? Bagaimana hendak menjawab? Apa persediaan yang hendak dilakukan? Dia tidak sempat bertanya kerana Alang Karim terlalu cepat berlalu. Tidak sempat memikirkan kemungkinan lain kerana tiba-tiba paluan kompang bergema.

Para tuan rumah yang duduk bersamanya, semuanya panggung kepala. Timbalan Perdana Menteri sudah sampai! Ada yang tadi berwajah lesu mengantuk kerana menunggu, semuanya sudah berubah ceria. Mereka berdiri tegak menghormati kedatangan Timbalan Perdana Menteri, yang diiringi Menteri Besar dan orang kenamaan negeri.

Para tetamu dan pelancong juga nampaknya teruja dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri dan orang kenamaan negeri yang ‘mencemar duli’ menjenguk desa. Tambah lebar senyuman mereka apabila sempat bersalam-salaman dengan para pembesar negara yang semuanya menunjukkan wajah ramah mesra.

Satu penghormatan tentunya bagi warga desa kerana orang besar-besar negara sudi datang ke desa yang lama terbiar sepi!

Acara dimulakan dengan pembuka bicara, bacaan doa seterusnya ucapan demi ucapan setiap pembesar. Disusuli upacara kemuncak, penyerahan sijil ‘homestay’ kepada setiap tuan rumah yang menyertai program bersejarah itu. Sebelum majlis ternoktah, pengacara majlis mengumumkan Timbalan Perdana Menteri akan meluangkan masa melawat ke rumah ‘homestay’ contoh, seterusnya langsung ke dewan jamuan di dewan pejabat belia, sebelum berangkat pulang.

Yasmin Zulaikha berdebar-debar. Dia sampai semula di rumah beberapa minit sebelum tetamu kenamaan tiba. Beberapa ahli jawatankuasa penting sudah menanti dengan bunga manggar. Kakak ipar, Kak Miah tersenyum-senyum melihat dia tiba dalam keadaan kelam-kabut. Anak-anak saudaranya yang bertiga itu pula terkinja-kinja suka melihat ramai orang berkumpul di halaman kediaman mereka.

“Mak, hari ini kenduri kahwin mak su ke?” Mizi yang keletah bersaling pandang antara wajah ibunya dengan wajah ibu saudaranya.

Kak Miah tergelak. Yasmin membeliakkan mata pada Mizi. Tetapi si kecil yang berwajah keliru terus menyembunyikan wajah di belakang ibunya pula.

Rombongan yang membawa Timbalan Perdana Menteri tiba. Emak berseri-seri wajah menyambut kedatangan orang kenamaan, langsung membawa tetamu kehormat menjengah sudut kediaman. Yasmin Zulaikha sengaja memberi peluang emak ke depan ketika Timbalan Perdana Menteri bertanya beberapa soalan. Tersipu-sipu emak ketika Timbalan Perdana Menteri memuji kekemasan kediaman yang terjaga rapi itu.

“Patut tanya anak saya, Datuk. Dia tuan rumah dalam program ‘homestay’ ni…” emak segan-segan menjawab.
Timbalan Perdana Menteri tersenyum. Mengangguk-angguk. Para jurufoto sibuk mengambil gambar aksi orang kenamaan bermesra dengan rakyat.

“Tak mengapa. Orang tua menyokong kerja orang muda. Orang muda patut ambil peluang untuk belajar apa yang patut,” Timbalan Perdana Menteri membalas, kemudian memandang Yasmin Zulaikha yang berdiri di belakang.

“Tahniah! Bagus, perlu ada lebih ramai orang muda macam awak!” Sebaris ayat itu buat dia mengelopak senyuman.

Rombongan itu berlalu pergi. Sedikit tergesa. Terdengar suara berkata, Timbalan Perdana Menteri perlu pulang ke ibu kota sekarang kerana malam ini beliau perlu menghadiri acara makan malam penting yang membabitkan kehadiran Yang Dipertuan Agung.

Tuk Ketua Alang Karim mendekatinya ketika rombongan orang besar itu berlalu. Cerah wajah orang tua itu.
“Kita beredar ke dewan belia. Ada jamuan di sana. Sebelum itu nak perkenalkan kamu pada orang surat khabar…”

Seorang lelaki muda tersenyum manis, muncul tiba-tiba di sebelah Alang Karim.

“Inilah Yasmin yang pak cik cakap hari tu!”

Yasmin Zulaikha serba salah tiba-tiba. Tetapi dia tersenyum juga, mengangguk sekali tanda hormat pada anak muda sebelah Alang Karim itu.

“Er, rasa macam pernah jumpa! Siapa ya?”

No comments: