Monday, August 25, 2008

Bukan Yang Pertama (Siri 8)

‘Anak Angkat’
Anak muda di hadapannya itu tinggi, bertubuh sederhana, bermata bening. Rambut lurusnya keperangan, tidak hitam pekat serta raut wajah putih itu sudah cukup memberikan makluman awal bahawa anak muda itu berdarah kacukan. Anak muda itu tersenyum. Senyuman yang menyerlahkan gigi yang tersusun rapi dan sedap mata memandang.

Yasmin Zulaikha tersenyum balas, mengangguk sekali. Ringan tangannya terasa mahu dihulurkan pada anak muda di hadapannya itu. Tetapi ada suara akal menegah. Anak muda itu lelaki, dia perempuan. Bukankah tidak manis berjabat tangan?

“Jason…” anak muda itu bersuara, meletakkan tapak tangan kanan di dada sebelah kiri dan kemudian mengangguk sekali.

Yasmin Zulaikha terkedu sejenak. Senyuman anak muda itu begitu bergula. Tetapi cepat-cepat dia mewajarkan wajah semula.

“Yasmin,” giliran dia memperkenalkan diri. Ada lega terhambur dari nafas kerana anak muda itu rupa-rupanya sedar mengenai adab aurat lelaki dan wanita Islam.

Anak angkat – dia tergelak sendiri dalam hati ketika mendengar ucapan aluan oleh pengerusi majlis, Encik Zamani dalam majlis penyerahan pelancong pada tuan rumah. Dalam hatinya mentertawakan ucapan pengerusi persatuan belia itu yang membuatkan dia teringat mengenai pengalaman mengikuti khidmat siswa pada zaman belajar dahulu.

Itu wajar dikatakan anak angkat. Tetapi dalam keadaan dia hari ini, wajarkah pelancong yang akan bertamu di rumahnya nanti digelarkan anak angkat. Tetapi hari ini, semua tuan rumah yang sedang menanti giliran menerima tetamu ini sudah selesa menggelarkan diri mereka sebagai bapa angkat atau emak angkat!

“Yasmin dapat anak angkat! Hebatlah!” Ada suara nakal terdengar entah dari mulut siapa ketika Encik Zamani mengumumkan nama Yasmin Zulaikha dan tetamunya, Jason.

“Untungnya. Anak dekat sebaya emaknya!” Ada lagi suara lain menyambut, diselangi derai tawa beranak-pinak.

Jason akan menjadi tetamunya selama dua hari ini. Dan dia akan menunaikan tanggungjawabnya dengan baik selaku tuan rumah.

Beberapa ketika tadi, dia sedikit gementar apabila menatap satu demi satu wajah asing yang bertamu ke homestay mereka. Tika menjamah hidangan ala kampung - nasi putih bersulam sambal belacan serta ulam-ulaman, masak lemak nangka, ikan sepat goreng dan gulai ayam kampung – matanya kerap memandang para tetamu yang juga sedang berselera makan.

Siapa yang bakal jadi tetamunya nanti?

Perempuan Mat Saleh kurus tinggi berambut perang separas bahu yang berbaju T lusuh dan berseluar singkat paras betis itu barangkali. Dia sempat bersalam-salaman dengan wanita itu ketika dia turun bas tadi. Claire namanya, berasal dari Amerika Syarikat.

Atau mungkin lelaki dan perempuan (suami isteri dia kira kerana pasangan itu dia lihat tidak berenggang sejak tadi) berwajah kecinaan yang asyik terangguk-angguk itu. Orang Jepun agaknya, atau jika tidak mungkin Korea atau seangkatan dengannya.

Sempat dia memerhatikan beberapa wajah Melayu yang ada sama. Tiga perempuan muda bertudung yang duduk rapat satu sama lain. Mereka wartawan barangkali kerana yang seorang itu dia perhatikan suka benar mencatat dalam buku notanya.

*Comel

Mungkin juga tetamunya nanti si wanita Cina yang nampak sedikit berusia tetapi sering tersenyum itu. Rambut lurus separas bahu menutup dahi itu membuatkan wajahnya nampak comel. Wanita itu nampak seperti suka berkawan dan tentu tiada masalah jika dia menjadi ahli keluarga baru Yasmin Zulaikha.

Tetapi bukan mereka itu yang diserahkan padanya. Jason – inilah tetamunya. Dia tidak perasan pun anak muda itu dalam tempoh singkat di dewan pejabat belia tadi.

“Saya panggil kakak, boleh?” Jason memandang dengan mata beningnya. Gayanya bagaikan anak-anak yang memohon sesuatu daripada ibu bapa yang garang.

“Kamu boleh bercakap Melayu?” Emak bersuara, sedikit berwajah terperanjat.

Jason tersenyum manis.

“Sedikit-sedikit.”

“Hah! Senanglah kalau begitu. Takut kita nanti jadi macam ayam dengan itik!” Emak berwajah ceria.

Jason nampak terpinga dan bingung. Barangkali tidak faham maksud yang diungkapkan emak. “Boleh panggil Kak Min. Emak kakak ni, boleh panggil mak cik.” Yasmin mengambil jalan tengah, bersuara lambat-lambat, mahu memahamkan anak muda itu. “Panggil ‘emak’ pun tak apa!” Emak laju meningkah. Nampaknya emak lebih teruja berbanding dia sendiri.

“Bawa anak angkat masing-masing pulang ke rumah dahulu. Berkenal-kenalan dan biar mereka rehat lepas berjalan jauh. Pukul 3 nanti, datang bersama anak angkat masing-masing ke majlis pelancaran,” begitu pesanan Encik Zamani sebelum semua tuan rumah bubar dari dewan pejabat belia bersama tetamu mereka.

Dalam hati Yasmin, ada kelucuan belum terhapus dengan istilah kegemaran Encik Zamani itu. Tetapi dia enggan meremehkan. Bagi warga desa, mungkin istilah ‘anak angkat’ dapat mengungkap suasana kekeluargaan, menjadikan hubungan lebih dekat dan mesra. Perkataan ‘anak’ itu sendiri menggambarkan sesuatu yang ikatan yang manis, yang mungkin akan mengikat hati pelancong untuk datang lagi!

Kemesraan – memang itu yang wajar diberikan selaku tuan rumah.

Jason ditunjukkan bilik dan disuruh berehat. Anak muda itu senang hati melangkah masuk ke kamarnya. Azlan yang malam tadi tiba dari Sintuk sama melayan Jason. Terkial-kial hendak berbual dalam bahasa Inggeris dengan Jason tetapi Jason pula yang bercakap Bahasa Melayu dengannya!

“Sebaya Anis agaknya si Jason tu. Tak pun mungkin sama dengan Azlan…” emak bersuara perlahan ketika mereka berdua berada di dapur.

Yasmin Zulaikha menyediakan air mangga di dapur. Dia menelan air liur mendengar nama Anis disebut.
“Baik nampaknya budi bahasa budak Mat Saleh tu…” lanjut emak.

Emak duduk menikmati air mangga yang dihidangkan Yasmin. Yasmin Zulaikha juga mengambil tempat. Ada sesuatu yang menggoncang hatinya.

“Elok juga Azlan balik. Azlan beritahu mak kat dewan tadi, dia minta pada Zamani, kalau boleh bagi kita pelancong Mat Saleh. Katanya, dia nak belajar sesuatu dari mereka.” Emak menghirup air mangga yang manis. Wajahnya juga manis berseri.

Tersentuh hatinya melihat wajah ceria emak. Dia andaikan emak ria menerima kehadiran ‘anak baru’. Juga senang hati kerana Azlan yang sudah tiga bulan tidak balik tiba-tiba pulang semata-mata mahu meraikan hari bersejarah mereka. Tetapi dalam mata emak, dia lihat seperti ada sesuatu. Agaknya emak terkilan kerana Anis tidak ada.

Ternampak kelibat Azlan keluar dari bilik air masuk ke biliknya. Barangkali mahu menunaikan solat Zuhur. Waktu semakin larut. Dia sendiri pun belum menunaikan solat. Barangkali dia perlu meminta petunjuk Tuhan.
Dalam hati, ada sesuatu yang tidak beres.

Anis!
Dia renung wajah emak. Tidak sampai hati hendak membuka mulut. Bimbang cerita mengenai Anis yang dia masih tidak tahu hujung pangkal itu boleh memusnahkan bunga bahagia yang berkembang di wajah ibunya itu.

Nantilah!
Begitu dia memutuskan. Tetapi debaran di hatinya, entah mengapa sukar ditenteramkan.

No comments: