Monday, July 21, 2008

Bukan Yang Pertama (Siri 7)

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi amat mengasihani. Dia mahu mulakan dengan nama Allah. Yasmin Zulaikha menarik nafas dan menghelakan dengan tenang. Hari ini hari bersejarah.

Hari ini bakal jadi hari yang akan mencatatkan sejarah dalam hidupnya. Hari ini akan jadi hari yang memberi warna kepada hidupnya.

Matanya melirik pandang pada nama sendiri yang tercetak kemas pada panel besi empat segi yang terpacak kukuh di hadapan kediamannya. Panel berwarna putih keseluruhannya dengan barisan nama berwarna hitam. Di atasnya tertulis ‘Program Homestay Desa Sempadan’, diikuti barisan bawahnya Yasmin Zulaikha Basri, lengkap dengan alamat rumah dan nombor telefon.

Kehadiran panel besi itu yang dipacakkan di hadapan rumahnya dua hari lalu mengesahkan bahawa Yasmin Zulaikha adalah salah seorang peserta program homestay yang akan dilancarkan Timbalan Perdana Menteri petang nanti!

Yasmin Zulaikha meraba-raba letak tudung hijau pucuk pisang yang kemas menutup kepala.
Dadanya sedikit berdebar dalam baju kurung Pahang sedondon hijau itu. Tetapi cepat-cepat dia bisikkan kata penenang ke dalam hati sendiri. Bukankah dia sudah serahkan segala-gala pada Allah yang maha berkuasa?


Jam di pergelangan tangan ditatap. Matanya beralih pula ke arah pintu dapur yang masih terbuka. Resah terjangkit menanti emak. Dia bimbang mereka kelewatan. Masa begitu berharga. Dia mahu memberi imej yang baik dengan tugasan pertama yang akan dipikul hari ini.
“Mak, cepat sikit…”


Kedengaran sayup suara emak membalas.

Tidak sampai dua minit kemudian, emaknya muncul di lawang pintu dengan berbusana serba kuning, dari tudung sehingga baju kurung Johor sepasangnya. Lengkap dengan beg hitam kulitnya. Langkahnya sedikit tergelut.

Yasmin Zulaikha membeliakkan mata.

“Amboi! Siapa yang nak diraikan hari ni? Min atau emak? Serba kuning macam sultanah,” Yasmin Zulaikha sempat berlucu. Menyorot pandang dari atas sehingga bawah ibunya.
Emak menjeling sejenak. Tangan mencapai kasut di rak, kemudian tunduk sedikit meletakkan kasut di hujung kaki.


“Nanti kalau mak pakai baju tak cantik, Min juga yang malu…” Tidak mahu kalah emaknya membalas.

Yasmin Zulaikha tergelak.

“Marilah mak. Nanti kita lambat pula sampai. Jadi imej tak baik pula. Melayu Baru kena tepat janji,” si anak gadis berlalu tangkas ke kereta yang diam di halaman yang luas.

Enjin Kancil segera dihidupkan. Emak pula terkocoh-kocoh mengunci pintu dapur, kemudian separuh berlari ke kereta. Tetapi sebelum sempat dia meletak punggung, dia menepuk dahi.
“Allah! Mak dengar bunyi telefon dalam rumah. Tapi pintu dah kunci,” sedikit teragak-agak campur mengah suaranya.


“Biarlah mak. Mesti Tok Alang tu. Agaknya dia dah menunggu kita di pejabat belia.” Yasmin Zulaikha sudah mahu masuk gear.

Langkah emak tergencat. Gesit dia masuk ke kereta. Kancil beredar keluar dari kediaman, melaju ke jalan besar. Tidak sampai 10 minit kemudian mereka sampai di pejabat beliau. Dari jauh dewan itu kelihatan sudah sesak padat dengan orang ramai. Sejenak emak tercengang melihat orang yang berkumpul di sana.

“Ramainya. Semua orang dah berkumpul di sini. Kita saja yang lambat, Min!” Suara emak kedengaran sedikit sesal. Tetapi kemudian dia tersengih lebar kala melihat seseorang menggamitnya. Dia menunjuk-nunjuk pada pada Mak Long Zakiah yang terlambai-lambai ke arahnya.

Yasmin Zulaikha membiarkan sahaja. Emak kalau sudah bertemu sahabat baiknya memang begitulah. Dia memerhati sekitar dewan yang sederhana luas, yang semakin sesak. Sebahagian tetamu di situ, dia kenal akrab. Mereka rakan seperjuangan dalam program ‘homestay’.

“Pukul berapa bas dari Kuala Lumpur sampai?” kedengaran suara, entah siapa bertanya kepada entah siapa.

“Dengarnya masih dalam perjalanan. Tengah hari nanti, insya-Allah. Mereka makan tengah hari di sini,” ada suara yang tolong menjawab. Juga dia tidak tahu siapa.

Yasmin Zulaikha tercari-cari kelibat Tok Ketua Alang Karim. Tetapi tidak kelihatan. Malah jika dia tidak silap Proton Wira orang tua itu juga tidak kelihatan di ruang letak kereta di luar sana. Agaknya dia ada urusan di mana-mana.

Ruang bilik mesyuarat di pejabat belia itu menempatkan dua meja bujur panjang. Secara anggarannya boleh memuatkan sehingga lebih 100 orang. Yasmin Zulaikha kenal benar bilik ini kerana di sinilah dia tercatuk menunggu dan mendengar setiap kali mesyuarat ahli jawatankuasa homestay. Sejak beberapa bulan kebelakangan, bilik ini bagaikan pejabatnya sendiri.

Meraikan

Mengikut perancangan, rombongan dari Kuala Lumpur akan tiba di sini sebelum pukul 1 tengah hari. Mereka akan menikmati makanan tengah hari sebelum diserahkan pada keluarga angkat masing-masing.

Di meja panjang yang rapat ke dinding sudah tersedia hidangan yang bakal dijamah tetamu. Dia tidak tahu menu apa yang disediakan. Sekadar dia difahamkan, semuanya juadah ala kampung, kerana mahu meraikan orang Kuala Lumpur yang bakal bertandang.

Orang Kuala Lumpur? Kebanyakan orang Kuala Lumpur asalnya dari kampung juga! Hatinya terdetik, sekali gus terkelopak senyuman di bibirnya.

Siapa pelancong yang akan diserahkan padanya nanti? Lelaki, perempuan, Melayu, Cina atau India? Atau barangkali bukan orang tempatan, sebaliknya warga asing? Hatinya masih tertanya-tanya. Malah dia pasti semua tuan rumah terbabit juga sedang berdebar menunggu tetamu yang bakal diam di rumah mereka selama dua hari satu malam ini.

Khayal dan teka-teki minda Yasmin Zulaikha tergencat. Telefon bimbit berdendang minta dijawab. Terburu-buru dia menyeluk ke dalam beg.

“Puan Khadijah?”

“Saya anaknya. Puan Khadijah err…” Mula melilau matanya mencari. Emak kelihatan ceria di sudut sana berlabun sakan nampaknya dengan Mak Long Zakiah!

“Saya perlu bercakap dengan penjaga Anis Izudin,” suara wanita di hujung sebelah sana tenang penuh skema.

“Saya kakaknya, Yasmin. Boleh dikira penjaga dia juga. Ada apa puan?”

“Saya Hamidah, dari pejabat pentadbiran kolej Anis. Ada sedikit masalah dengan adik Cik Yasmin.”

“Masalah apa tu? Err…” Sedikit terkacau dia dengan perbualan dua lelaki yang tiba-tiba muncul di hadapan pintu pejabat belia. Dia bergerak menjauh dari pintu. Langsung keluar mencari ruang selesa.

“Sedikit masalah berkaitan disiplin. Saya hanya nak maklumkan pihak kolej sudah menghantar surat pada cik dan ibu cik mengenai laporan disiplin Anis. Mungkin cik akan terima dalam sehari dua ini.”

Yasmin Zulaikha bingung seketika. Tidak tahu bagaimana mahu menanggapi atau membalas ujaran di sana.

“Err, maaf, saya masih bingung. Ada apa sebenarnya?”

“Seperti saya katakan, sedikit masalah disiplin. Tunggu surat itu dahulu. Saya menelefon untuk memaklumkan dahulu. Supaya penjaga tidak terkejut. Ini adalah prosedur biasa.” Masih tenang, tetapi wanita bernama Hamidah itu sedikit menekan suara pada ‘sedikit masalah disiplin’.

Hamidah yang menelefon meminta izin untuk menamatkan perbualan dengan sedikit pesanan, ‘tidak perlu risau’ dan ‘tunggu saja dulu’.

Yasmin Zulaikha menelan liur. Apa sahaja yang dilakukan Anis di kolejnya. Kebelakangan ini, dia seperti sedikit terlupa adik seorang itu kerana begitu sibuk menguruskan halnya sendiri. Kalau tidak silap, dua malam lepas, dia dengar Anis menelefon emak, tetapi emak tidak pula bercakap apa-apa yang aneh.

Apa yang terjadi?

Dia bergerak ke pintu dewan, mahu mencari emak. Ada sesuatu yang harus dimaklumkan pada emak. Emak mungkin boleh memberikan penjelasan.
“Orang Kuala Lumpur dah sampai!”


Langkahnya terhenti. Seruan itu mematikan langkahnya. Dia menoleh. Sebuah bas besar tinggi berwarna hijau kelihatan membelok masuk.Yasmin Zulaikha menelan air liur lagi!

No comments: