Monday, July 21, 2008

Bukan Yang Pertama (Siri 6)

Ada kesal menukik di hati. Sudah lama dia mendengar cerita-cerita tidak sedap mengenai anak kampung yang seorang itu. Isa bukan orang lain, walau tidak akrab tetapi tetap anak kampungnya. Tetap ada sangkut saudara juga.

Cacat cela, baik buruknya, masih di bawah pemantauan Alang Karim sebagai ketua.
Kadangkala dia rasa Si Isa itu seperti nyamuk. Benar-benar pengacau. Pengacau yang selalu menggugat ketenteraman. Kerana nyamuk seekor, bisa menggugat tidur dan rehat. Si Isa seperti itulah, kerana dia seorang seluruh desa terganggu dan kacau. Pengacau harus disingkirkan!


Tetapi kemudian Alang Karim beristighfar. Dia kembali menumpukan perhatian pada pemanduan. Jalan raya kampung lengang. Hatinya senang memandu dalam kelengangan ini dan memandang kiri kanan yang masih dipenuhi kehijauan pepohonan. Tetapi mengingati cerita Hamdan mengenai Isa yang membawa cerita yang bukan-bukan, buat hati tuanya terbakar.

Ini bukan kali pertama sebenarnya. Setiap kali ada kisah orang yang hendak menggugat program homestay mereka, nama Isa pasti naik. Si Isa itu ada-ada sahaja yang tidak kena. Semua orang tidak kena pada matanya. Semua orang tidak betul padanya. Hanya dia seorang yang betul.

Mulanya dia hanya mendengar daripada mulut orang lain. Akhirnya dia bertemu empat mata dengan Isa. Mahu penjelasan lanjut. Tetapi lelaki itu terus-terang menyatakan tidak akan memberi sokongan. Dia tetap dengan pendiriannya, bahawa apa yang mereka usahakan itu hanya membawa pada budaya buruk di kampung. Akan meruntuhkan kampung, bukan membangunkan!

“Maafkan saya, tok. Saya bukannya tak suka tetapi benda-benda ni semua bertentangan dengan prinsip saya. Maaflah, saya tak nak campur dalam kerja-kerja yang bercampur antara kebaikan dan keburukan ni.”

“Jangan terikut sangat dengan cakap puak tertentu, Isa. Kita kena jelas dengan apa yang kita buat, tak terpengaruh dengan orang,” sebagai orang lama, dia sekadar memberi nasihat.

“Itu kata tok. Tapi pandangan saya lain,”Dia malas untuk memujuk lelaki itu. Sia-sia dan buang masa saja pada hematnya. Dia tahu pendirian Isa ada kena-mengena dengan fahaman politiknya. Kalau bercakap panjang-panjang pun tak guna, tetap dia hendak menang dan dia memang hanya tahu mahu menang sahaja.

Kalau hendak mengajar pun, biarlah mengajar pada orang yang hendak belajar. Orang yang hendak belajar itulah modal insan yang terbaik, yang harus diasah agar memiliki minda kelas pertama. Dalam kotak fikirnya, dia sudah punya beberapa modal insan yang terbaik, yang bakal diasuh dan diasah untuk ditajamkan minda mereka sehingga ke tahap kelas pertama.

Banyak rencana yang dia baca dalam akhbar yang menekankan buah fikir Perdana Menteri mengenai modal insan yang memiliki kelas pertama. Insan adalah sebaik-baik modal, lebih berharga daripada wang ringgit dan harta benda. Modal seorang insan adalah akal kurniaan Allah, yang harus digunakan secemerlang mungkin untuk menjana sesuatu yang paling berharga.

Sebuah kampung yang sunyi sepi kerana ditinggalkan, tentu boleh jadi maju jika dibangunkan dengan modal insan yang memiliki kelas pertama. Bukankah dengan akal, kita boleh mengubah apa sahaja? Bukankah dengan akal, kita boleh membangunkan negara?

Sejak mendapat idea mengenai modal insan kelas pertama itu, dia selalu menegaskan hal itu pada anaknya Si Intan Maziah. Dan selalu jugalah anak daranya yang seorang itu mengusik apabila dia membuka khutbah mengenai kepentingan ilmu dalam melatih manusia yang berjiwa cemerlang.

“Ayah ni sekarang bukan main lagi, mengalahkan orang politik. Semuanya tahu. Bolehlah ganti Datuk Kasa,” usik Intan sambil tergelak-gelak memandangnya.

“Dalam surat khabar semua ada tulis. Baca sahajalah. Ayah setiap hari beli surat khabar supaya kamu baca. Penting untuk tingkatkan pengetahuan am. Kamu tu nak periksa SPM tahun ni. Ini asyik baca novel cinta saja!” sempat dia menyindir anak remajanya yang tidak lekang dengan novel cinta setiap hari.

Setiap bulan, dia terpaksa menokok wang belanja untuk membolehkan Intan Maziah membeli novel kegemaran. Namun dia tidak pernah merungut kerana tahu minat anak bongsunya itu. Dia juga tidak risau jika Intan terhanyut dengan fantasi novel cintanya kerana dia yakin anak itu tahu membeda baik buruk.

Selain novel cintanya, anak itu juga sudah berkali-kali membaca Di Bawah Lindungan Kaabah, Merantau Ke Deli dan Tenggelamnya Kapal Van Der Vijdck, tulisan Hamka.

Merungut

Malah, Sejarah Melayu milik Alang Karim juga sudah habis dikhatam sejak tingkatan satu lagi walaupun ketika itu, dia gagal memahami banyak perkara. Baru-baru ini, si anak meminta wang lagi kerana hendak membeli versi baru Hikayat Khoja Maimun, Syair 100 Siti, Cendawan Putih, Jayapati dan entah apa-apa lagi hikayat Melayu yang dia sendiri tidak pernah dengar.

Dia merungut, kadangkala sengaja merungut kerana hendak melihat akal si anak. “Novel cinta kamu kan sudah banyak? Hendak membeli apa lagi?”

Tetapi si anak membalas, “novel cinta itu untuk bacaan suka-suka. Macam mee segera, sedap tapi tak kenyang. Tapi buku-buku serius ini untuk makanan minda. Mengenyangkan. Cikgu kat sekolah selalu cakap begitu.”

“Mana kamu dapat senarai buku tu?”

“Cikgu oranglah bagi. Dia kata bagus baca buku-buku tu kalau nak faham mengenai kesusasteraan!”

Alang Karim menekun.

“Kan Intan cakap Intan nak masuk Universiti Malaya. Intan nak dalami bidang sastera!” laju anak itu menjawab, membuatkan Alang Karim terdiam langsung.

Intan Maziah!

Malah kadangkala pernah dia terfikir, anak gadis itu memang betul-betul ‘ulat buku’ kerana sejak kecil, setiap buku tanpa mengira genre dan penulis akan cuba dihabisinya walaupun kadangkala dia sendiri tidak faham apa yang dibaca.

Alang Karim membrek mengejut. Terkejut kerana di laluan lengang itu tiba-tiba melintas seekor ayam. Mujur ayam terselamat. Entah ayam siapa tersesat sehingga ke tengah jalan raya, dia sendiri tidak pasti. Tetapi ini bukan kejadian yang aneh. Ayam, kucing, malah kadangkala biawak - pernah berkongsi laluan yang sama ini!

Kembali Alang Karim menumpukan perhatian pada pemanduan. Sesekali dia menoleh ke sebelah, melihat bungkusan bihun sup kegemaran Intan Maziah. Aroma supnya tertebar ke seluruh ruang kereta sehingga menyebabkan dia digoda lapar.

Mengingati makanan kegemaran anak bongsunya itu, membayangkan keletah Intan Maziah yang keanak-anakan tetapi kadangkala matang, juga mengenangkan kesetiaan isteri yang tidak surut lebih bahagia daripada membiarkan ingatan melayang pada orang berfikiran negatif seperti Si Isa itu.

Alang Karim menghelakan nafas sekali.

Bumbung rumah berzink warna biru sudah kelihatan. Dia membelok kereta ke halaman, berhenti betul-betul di hadapan tangga batu berwarna coklat. Menghela nafas dan mengucap alhamdulillah kerana selamat tiba di rumah.

Intan Maziah melenting turun dengan wajah ceria.

“Ayah, tadi ada wartawan telefon. Dia nak bercakap dengan ayah!”

No comments: