Monday, August 25, 2008

Bukan Yang Pertama (Siri 11)

Hari Terakhir

Sarapan pagi hari itu tiba-tiba jadi begitu meriah. Abang Yasin anak beranak datang bertandang membawa nasi lemak kukus dan sambal sotong air tangan Kak Miah. Emak pula menyediakan cucur udang yang memang menjadi kegemaran. Keluarga kecil berkumpul awal pagi kerana mahu meraikan anggota baru mereka, iaitu Jason.

“Sarapan pagi yang istimewa. Rasa macam dalam keluarga,” ulas Jason ketika semua orang berkumpul di meja makan. Dia tersenyum memandang anak-anak abang Yasin yang merenungnya dengan mata tidak berkelip. Mizi tersipu malu kala tangan Jason mengusap kepalanya.

Yasmin Zulaikha merenung anak muda kacukan Inggeris Cina yang fasih berbahasa Melayu itu. Dia terkesan ada sedikit nada terkilan dalam suara itu.

“Lain kali sudi-sudilah datang lagi. Kami memang suka terima tetamu,” Yasmin membalas, cuba menghantarkan isyarat kemesraan berkeluarga dalam hati anak muda itu.

“Ya, udara di kampung juga sangat bagus. Sejuk tapi segar,” anak muda itu bersuara lagi, walaupun sedikit pelat tetapi yakin.

“Sebab itu anak-anak elok didedahkan pada suasana kampung. Ingat kisah Rasulullah, waktu kecilnya, dia ditinggalkan dengan keluarga angkat, Halimatussaadiah di luar Mekah. Rasulullah bukan saja diajar berdikari, tapi suasana kampung yang elok banyak membentuk peribadinya, berbanding kota Mekah yang sesak,” emak menyambung, memandang Jason dalam senyuman seorang ibu.

Jauh di sudut hati, Yasmin Zulaikha tahu emak ada rasa ralat di hati. Baru semalam anak muda itu tiba, belum sempat bermesra tetapi tengah hari ini, mereka sudah akan berangkat pergi.

Tidak banyak yang mereka tahu mengenai anak muda itu dalam masa yang singkat ini. Jason juga nampaknya tidak begitu terbuka untuk bercerita kisah peribadinya.

“Saya akan datang lagi.” Jason seakan-akan melafaz janji.

“Jason patut jumpa seorang lagi anak mak. Anis. Kakak pada si Azlan ni,” emak ramah lagi bercerita.

Ada debar menyelinap ke hati Yasmin Zulaikha tiba-tiba. Mendengar nama Anis, ada rasa tidak enak terhantar ke jiwa. Ada sesuatu yang meruntun perasaan juga. Ada perasaan tidak enak tersangkut di pintu sukma. Apakah itu?

“Anis telefon mak semalam…”

“Ha, apa ceritanya?” Abang Yassin cepat bertanya.

“Tak ada cerita apa pun. Katanya semua baik.” Ada ceria dalam suara dan wajah emak.
“Lan selalu telefon Kak Anis. Tapi Kak Anis tak pernah telefon Lan. Kalau hantar SMS pun, dua tiga hari baru nak membalas. Kedekut prepaid betul dia!” Azlan membebel tiba-tiba.


“Dia sibuk belajarlah tu!” Emak cepat membela.

Azlan diam, kembali menumpukan perhatian pada makanan. Sudah dua kali bertambah nasi lemak. Di kampus, mana hendak dapat makanan seenak ini. Setiap kali balik kampung, dia pasti akan merengek pada emak supaya meminta Kak Miah memasakkan nasi lemak kukus untuknya. Hendak meminta sendiri, dia malu pada abang Yassin.

Yasmin Zulaikha bersilih pandang antara wajah emak dan Azlan. Sesuatu yang kurang enak itu masih mencuit-cuit tangkai hatinya. Dia teringat pada Anis yang setiap bulan mendapat wang daripada emak untuk dana kad prabayar telefon bimbitnya. Emak tidak berkira dalam hal yang satu itu kerana bagi emak, perhubungan dengan anak-anak mesti akrab walaupun mereka jauh di mata. Dahulu ketika dia masih bergelar pelajar, emak juga tidak banyak bersoal jawab jika dia meminta wang untuk telefon bimbit.

“Nanti selalu-selalu telefon emak di sini ya!” Dia sempat mendengar emak berpesan pada Jason.
Yasmin Zulaikha cepat tersedar bahawa hari ini adalah hari terakhir rombongan pelancong untuk program homestay. Sebelah pagi, para tetamu akan dibawa berkunjung ke bengkel perusahaan desa yang mengeluarkan produk makanan ringan. Menjelang tengah hari, diadakan jamuan perpisahan untuk tetamu di kediaman Tok Ketua Alang Karim.


“Harap-harap ini bukan kunjungan pertama dan terakhir. Kami sangat alu-alukan kedatangan tuan-tuan dan puan-puan ke desa kami. Kami harap tuan-tuan dan puan-puan menikmati pengalaman yang menarik dalam kunjungan singkat ini,” sedikit ucapan Datuk Kasa disambut dengan tepukan tetamu.

Yasmin Zulaikha sedikit leka memerhatikan gelagat tuan rumah dalam acara terakhir itu. Dia tersenyum tika terpandang Mak Long Zakiah mengesat air mata ketika tetamunya, wanita Cina berambut lurus paras bahu itu memeluknya. Mak Long Zakiah yang mulut bising itu kadangkala memang sensitif orangnya.

Tetamu bersalam-salaman dengan tuan rumah sebelum beredar menaiki bas. Matahari semakin tinggi tetapi awan melindungi memberikan keredupan. Ada wajah sedih bercampur ria mengiringi perpisahan itu.

Bas berlalu pergi.

Yasmin Zulaikha ternampak-nampak Jason di dalam bas merenung panjang padanya. Renungan anak muda kali ini entah mengapa terasa ada kesayuan. Bagaikan ada sesuatu yang termengkelan, tidak terluahkan. Lama dia membalas renungan anak muda itu sehingga bas semakin jauh dan jauh.

Jauh di mata, di hati jangan, dik! Hatinya spontan berbisik.

Emak menggesanya mengajak pulang. Azlan awal-awal sudah hilang, katanya mahu ke bandar untuk membeli tiket pulang ke Sintok. Tok Ketua Alang Karim kecoh mengingatkan para pengusaha homestay yang menerima tetamu agar hadir dalam mesyuarat di pejabat belia malam nanti.

Selesai satu perkara. Ke mana hala tuju projek yang mereka usahakan ini, masih terlalu panjang jalan yang hendak dirintis. Masih terlalu banyak perkara yang perlu diperbaiki dan diperkemaskan agar perancangan masa depan berjalan lancar. Tetapi dalam hati, Yasmin Zulaikha berpuas hati kerana perancangan awal sudah terlaksana seperti dirancang.

Dalam hati paling dalam, dia memahat azam untuk tidak mensia-siakan semua peluang ini!
Emak terburu-buru masuk ke rumah, tidak tahan hendak ke bilik air katanya. Pada mulut peti surat, ada sampul putih terjulur keluar. Kepala surat menunjukkan cop kolej Anis sekali gus menghantar dup dap keras ke jantung. Dia menelan liur. Apa berita yang dihantar oleh surat bercop rasmi itu?


Sesaat, dua saat, sehingga 60 saat berlalu, dia tersandar dengan surat putih di tangan. Sesungguhnya ini memang perkhabaran yang kurang enak. Berita yang tidak menggembirakan, malah boleh jadi berita yang bakal melukakan.

“Surat siapa?” Emak duduk di depannya, merenung wajah anak yang mendung.

“Surat Anis…” lambat-lambat dia terpaksa menjawab.

“Kenapa dengan dia?”

Yasmin Zulaikha menelan air liur. Bagaimana hendak menjelaskan?

Bukan Yang Pertama (Siri 10)

Ini permulaan

Maghrib tua. Yasmin Zulaikha baru menyudahi zikirnya sebelum menyambung solat sunat syukur sebanyak dua rakaat. Ada ketenangan rebas ke hati. Ada kelegaan juga di jiwa ketika dia menghabiskan doa terakhir, “Ya Allah, jadikanlah aku orang yang banyak bersyukur dan orang yang banyak bersabar. Jadikanlah aku kecil dalam pandangan mataku sendiri dan besar dalam pandangan mata orang lain.”

Syukur, segala yang dirancang terlaksana seadanya. Dia pastinya tidak akan sekuat ini tanpa keberanian milik-Nya yang dipinjamkan sedikit ke hatinya. Dan dia berdoa mudah-mudahan keberanian itu akan terus teguh terpasak dalam hati. Dengan izin Allah, dia masih punya masa yang panjang untuk menongkah kehidupan. Dia mahu kekalkan keberanian itu.

Dia menyandar ke kepala katil. Masih dalam keadaan bertelekung. Dari dalam bilik kedengaran suara emak berbual dengan Azlan dan Jason di dapur. Sesekali ada tawa berderai.

Yasmin Zulaikha memejam mata. Teringat-ingat semula kemesraan dan ramah tamah pembesar negara ketika bertamu di kediamannya petang tadi. Walau kunjungan mereka singkat sahaja tetapi dia berbesar hati. Walau dia bukanlah tenaga penting dalam projek homestay yang dia sertai ini tetapi dia rasa diberikan kepercayaan yang bukan sedikit oleh orang yang lebih dewasa daripadanya.

Kepercayaan ini buat dia lebih yakin terhadap diri sendiri! Keyakinan ini penting untuk orang muda sepertinya mengorak langkah lebih berani. Dia sebagai anak desa generasi baru harus membuktikan bahawa dia orang muda yang berani menerima cabaran. Dia harus berfikir di luar daripada kebiasaan untuk membuka horizon baru.

“Tahniah sebab berani buat sesuatu yang baru,” suara Umar Khalil masih terngiang-ngiang di kepala.
Senyuman anak muda wartawan itu, dia sambut seikhlasnya.

“Tok Ketua pernah cerita pada saya, ada seorang budak perempuan masuk program ini. Dia peserta paling muda. Lepasan Universiti Malaya, katanya. Saya bangga sebab saya pun lulusan UM juga. Tapi saya tak sangka pula, perempuan yang dia cakap tu, seseorang yang saya pernah kenal. Tahniah sekali lagi Zulaikha,” ada senyuman tidak kering di bibir anak muda itu.

Yasmin Zulaikha senyum juga. Tidak tahu bagaimana mahu bereaksi.

“Tak usahlah puji-puji sangat. Saya takut. Ini baru permulaan. Tak tahu apa yang ada di depan sana. Tak tahu sama ada saya boleh atau tidak teruskan semua ni,” dia membalas.

Umar Khalil merenungnya.

“Insya-Allah. Ingat orang kata, istiqamah? Tetap teguh dengan apa yang kita lakukan. Kalau awak tahu apa yang awak buat, insya-Allah, semuanya berjalan baik.”

Dia diam, merenung dalam diri sendiri. Dia tidak berani untuk merangka yang bukan-bukan. Dia mesti melakukannya satu-satu. Dia harus mengatur langkah demi langkah agar tidak tersadung sendiri.

Tetapi kata-kata Umar Khalil memang ada benarnya. Bahawa istiqamah - teguh dan mempertahankan pendirian, tidak berganjak dan tidak mundur ke belakang - adalah senjata seorang mukmin. Bukankah budaya istiqamah yang dibawa oleh personaliti silam seperti Sumayyah Khayyat yang teguh dengan pendirian walaupun nyawa jadi galang-gantinya?

Tetapi dia bukan Sumayyah Khayyat. Dia hanya Yasmin Zulaikha yang masih kekurangan segala.

“Terima kasih. Saya tak sangka berjumpa dengan kawan satu universiti dahulu. Dah lama saya tak ada kawan yang muda. Sejak masuk program ni, kawan-kawan saya semua kategori makcik-makcik dan pakcik-pakcik saja!”

Umar Khalil ketawa besar.

“Okey apa, dapat belajar banyak daripada orang tua. Mereka kan berpengalaman.”

“Ya, jangan saya jadi tua sebelum usia sudahlah!” dia terlancar.

Berderai ketawa mereka berdua.

Mak Long Zakiah datang ke meja mereka dengan pinggan berisi bihun goreng dan seketul karipap. Duduk di sebelah Yasmin Zulaikha.

“Esok keluar surat khabarlah kamu. Ini ha, dah diinterviu wartawan pula,” wanita peramah itu merenung Yasmin Zulaikha dan Umar Khalil silih berganti.

Yasmin Zulaikha meletakkan tangannya atas tangan Mak Long Zakiah.

“Mari saya kenalkan mak long. Nanti mak long pun boleh masuk surat khabar juga. Ini Encik Umar Khalil. Dia sebenarnya kawan saya masa di universiti dulu.”

Umar Khalil tersenyum. Anak muda itu mengangguk sekali pada Mak Long Zakiah. Mak Long Zakiah pula merenung anak muda itu agak lama sehingga Umar Khalil sedikit serba salah.

“Oh, dah kenal rupanya. Patutlah mesra. Siapa nama tadi?”

“Umar Khalil, mak long.”

“Umar? Sedap nama tu. Macam nama sahabat Rasululullah. Khalil tu pula maksudnya sahabat. Eloklah, Si Yasmin ni pun belum bersahabat! Kawan-kawan dia kat sini semuanya orang tua macam mak long ni. Elok sangatlah tu!” lancar Mak Long Zakiah bersuara.

Yasmin terasa mukanya panas.* Dia terperasan emak yang duduk di meja hadapan sana, menoleh sekali-sekala ke arah meja mereka.

Umar Khalil pula tersenyum-senyum, tidak terkata.

Mak Long Zakiah bangun mengangkat pinggannya. Mahu mencari tempat lain katanya. Tidak mahu mengganggu perbualan orang muda, tambahnya.

“Maaflah. Mak Long Zakiah tu memang suka mengusik.” Yasmin Zulaikha cepat-cepat bersuara, ingin menghapuskan kecanggungan Umar.

Umar Khalil mengangguk, senyum ramah lagi.

Ada ketukan di pintu mengejutkan lamunan Yasmin Zulaikha. Dia beristighfar. Panjang sekali angan-angannya. Dia bingkas ke muka pintu. Azlan tersengih, cepat-cepat meminta maaf kerana menganggu rehat si kakak. Kemudian memberitahu dia hendak membawa Jason ke majlis berzanji dan marhaban di rumah bilal Hasan.

“Elok-elok bawa motosikal. Habis di sana, balik terus. Jangan melencong ke lain!”

Azlan buat muka.

“Nak melencong ke mana dalam kampung ni?”

Yasmin Zulaikha masuk ke bilik semula. Kembali membaringkan tubuh atas katil dan mengkhayalkan saat pertemuan sepetang. Wajah Umar Khalil melayang datang, bertamu di panti ingatan. Dia sahabat yang kurang dikenali sebelum ini, walaupun benar mereka pernah sekampus, malah pernah menginap di kolej kediaman yang sama dahulu. Sekadar kenal begitu-begitu saja. Yang dia tahu, Umar itu bekas pelajar aliran Sains.

“Tak boleh memilih kerja, Zulaikha. Saya cuba apa saja yang ada. Kerja yang bukan bidang sendiri pun tak apa.

Lebih baik daripada menganggur. Saya sebetulnya sedang bercuti sekarang. Balik kampung di Taiping. Ada kawan di Kementerian Pelancongan beritahu mengenai program ini. Dia bagi nombor telefon Tok Ketua. Saya hubungi, kami sembang-sembang dan saya buat keputusan langsung ke mari, melihat-lihat apa yang menarik.”
“Untung begitu. Graduan perempuan lebih ramai menganggur dari lelaki, walaupun ramai graduan perempuan ada kelayakan lebih baik dari lelaki. Tapi majikan pilih lelaki.”

Umar tergelak.

“Itulah hakikatnya…”

“Perasan!”

“Saya akan tulis kisah yang baik-baik mengenai awak, Zulaikha,” ujar anak muda itu sebelum beredar petang tadi.

“Untung ada kawan wartawan.”

“Tolong kawan.”

Dia masih ingat, emak tidak habis-habis memandangnya ketika mereka dalam perjalanan pulang dari dewan jamuan.

“Kata Mak Long Kiah, budak lelaki tu kawan satu universiti dengan kamu? Dia dah kahwin?”

“Kalau sudah, kenapa? Kalau belum, kenapa?”

Emak tersenyum-senyum.

Yasmin Zulaikha rasa dia terlambung ke daerah mimpi. Azan sayup-sayup di udara, tersentuh di telinga. Dia terasa seperti berjalan di awang-awangan ketika tersentak terkejut mendengar deringan nyaring telefon di ruang tamu.

Bukan Yang Pertama (Siri 9)

Kunjungan orang besar

Dari jauh, suasana di padang kelihatan meriah. Setiap hari Jumaat, mulai jam 5 petang, padang itu jadi tempat penjaja pasar malam beroleh rezeki lebih. Hari ini, walaupun jam baru 3 petang, tetapi nampaknya suasana jadi lebih meriah berbanding setiap malam Sabtu. Separuh padang dipenuhi gerai-gerai yang berjualan produk desa. Suasananya tidak kalah seperti kemeriahan pasar malam setiap minggu.

Anak-anak remaja berpakaian seragam sekolah beratur sepanjang jalan memegang bendera kecil. Pasukan berpakaian seragam, Persatuan Bulan Sabit Merah, Puteri Islam, Pengakap dan Pandu Puteri juga sama meramaikan majlis. Kumpulan kompang sudah bersedia untuk memalu kompang. Kumpulan orang dewasa dari persatuan belia, yang lelaki berbaju Melayu, segak bersamping songket dan bersongkok sementara yang perempuan berbaju kurung, memegang bunga manggar.

Pentas utama berhias cantik bakal menerima kehadiran Timbalan Perdana Menteri beberapa minit lagi. Karpet merah sudah terhampar dari jalan masuk sehingga ke tangga pentas. Sesekali kelihatan anak-anak kecil berlari-larian hendak mencuba di karpet merah tetapi cepat dihambat orang dewasa yang berkawal di sana.

Tiga kanopi didirikan berhadapan pentas utama. Bertentangan pentas utama ditempatkan para tuan rumah ‘homestay’. Di sebelah kiri, kanopi yang menempatkan para tetamu jauh iaitu pelancong. Di sebelah kanan pula, kanopi untuk tetamu lain. Di hadapan mereka, kumpulan nasyid wanita seramai 10 orang sedang mengalunkan lagu-lagu irama ketuhanan dan patriotik.

Yasmin Zulaikha memerhatikan suasana - sesuatu yang amat baru bagi desa mereka yang sekian lama sepi. Dia dalam kumpulan pemaju ‘homestay’ yang bakal menerima sijil daripada Timbalan Perdana Menteri beberapa ketika nanti. Barisan sebelah sini untuk perempuan, sementara sebelah sana untuk lelaki. Lebih kurang ada 50 orang semuanya. Mudah dikenali kerana semuanya ‘berpakaian seragam’, yang perempuan berbaju kurung batik warna hijau, sementara yang lelaki berkemeja batik hijau dengan seluar hitam.

Mak Long Zakiah di sebelah kanannya, kelihatan berkipas dengan sebuah surat khabar. Kipas berpusing di bumbung kanopi tetapi masih tidak berjaya meredakan panas Mak Long Zakiah.

“Mak long panas. Berdebar-debar sama nak naik pentas, nak bersalam dengan TPM,” orang tua itu sempat melucu ketika dia ditegur teman sebelah menyebelah.

Berderai gelak tawa mereka dengan gelagat Mak Long Zakiah.

Matanya beralih pula pada kanopi di sebelah sana. Mencari-cari wajah Jason. Anak muda itu tidak datang bersamanya tadi. Dia lebih awal ‘dilarikan’ oleh Azlan menaiki motosikal kapcai milik Abang Yassin yang selalu dipinjam Azlan setiap kali anak muda itu balik kampung. Dia agak risau tadi apabila Azlan memberitahu hendak membawa Jason menaiki motosikal buruk itu. Bimbang dua anak muda itu tidak sampai di tapak majlis pelancaran.

“Lan jangan melencong ke tempat lain,” pesannya berkali-kali. Anak muda Mat Salleh itu baru jadi ahli keluarganya. Jika sesuatu berlaku, harus ‘masak’ dia menjawab!

“Lan tahu, Kak Min. Jangan risaulah. Jason tetamu kita. Lan tahulah nak jaga dia!” Anak muda itu cepat memberikan keyakinan.

Jason pula dia lihat begitu beria-ia mahu menumpang motosikal Azlan. Dua manusia itu dalam masa sejam dua sahaja tiba-tiba sudah jadi seperti kawan baik. Mahu tidak mahu, dia terpaksa melepaskan juga. Lama mencari wajah Jason di kanopi sebelah kiri, dia agak lega apabila ternampak anak muda itu bersama-sama teman pelancongnya yang lain.

Tok Ketua Alang Karim kelihatan tergesa mendekatinya.

“Yasmin, lepas ni ada wartawan nak interviu kamu. Kita jumpa di dewan jamuan selepas TPM melawat. Kamu bersedia tahu!” pesan orang tua itu sebelum berlalu pergi dalam langkah kelam-kabutnya.

Dia menarik nafas. Ditemu bual wartawan pula? Apa yang bakal ditanya? Bagaimana hendak menjawab? Apa persediaan yang hendak dilakukan? Dia tidak sempat bertanya kerana Alang Karim terlalu cepat berlalu. Tidak sempat memikirkan kemungkinan lain kerana tiba-tiba paluan kompang bergema.

Para tuan rumah yang duduk bersamanya, semuanya panggung kepala. Timbalan Perdana Menteri sudah sampai! Ada yang tadi berwajah lesu mengantuk kerana menunggu, semuanya sudah berubah ceria. Mereka berdiri tegak menghormati kedatangan Timbalan Perdana Menteri, yang diiringi Menteri Besar dan orang kenamaan negeri.

Para tetamu dan pelancong juga nampaknya teruja dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri dan orang kenamaan negeri yang ‘mencemar duli’ menjenguk desa. Tambah lebar senyuman mereka apabila sempat bersalam-salaman dengan para pembesar negara yang semuanya menunjukkan wajah ramah mesra.

Satu penghormatan tentunya bagi warga desa kerana orang besar-besar negara sudi datang ke desa yang lama terbiar sepi!

Acara dimulakan dengan pembuka bicara, bacaan doa seterusnya ucapan demi ucapan setiap pembesar. Disusuli upacara kemuncak, penyerahan sijil ‘homestay’ kepada setiap tuan rumah yang menyertai program bersejarah itu. Sebelum majlis ternoktah, pengacara majlis mengumumkan Timbalan Perdana Menteri akan meluangkan masa melawat ke rumah ‘homestay’ contoh, seterusnya langsung ke dewan jamuan di dewan pejabat belia, sebelum berangkat pulang.

Yasmin Zulaikha berdebar-debar. Dia sampai semula di rumah beberapa minit sebelum tetamu kenamaan tiba. Beberapa ahli jawatankuasa penting sudah menanti dengan bunga manggar. Kakak ipar, Kak Miah tersenyum-senyum melihat dia tiba dalam keadaan kelam-kabut. Anak-anak saudaranya yang bertiga itu pula terkinja-kinja suka melihat ramai orang berkumpul di halaman kediaman mereka.

“Mak, hari ini kenduri kahwin mak su ke?” Mizi yang keletah bersaling pandang antara wajah ibunya dengan wajah ibu saudaranya.

Kak Miah tergelak. Yasmin membeliakkan mata pada Mizi. Tetapi si kecil yang berwajah keliru terus menyembunyikan wajah di belakang ibunya pula.

Rombongan yang membawa Timbalan Perdana Menteri tiba. Emak berseri-seri wajah menyambut kedatangan orang kenamaan, langsung membawa tetamu kehormat menjengah sudut kediaman. Yasmin Zulaikha sengaja memberi peluang emak ke depan ketika Timbalan Perdana Menteri bertanya beberapa soalan. Tersipu-sipu emak ketika Timbalan Perdana Menteri memuji kekemasan kediaman yang terjaga rapi itu.

“Patut tanya anak saya, Datuk. Dia tuan rumah dalam program ‘homestay’ ni…” emak segan-segan menjawab.
Timbalan Perdana Menteri tersenyum. Mengangguk-angguk. Para jurufoto sibuk mengambil gambar aksi orang kenamaan bermesra dengan rakyat.

“Tak mengapa. Orang tua menyokong kerja orang muda. Orang muda patut ambil peluang untuk belajar apa yang patut,” Timbalan Perdana Menteri membalas, kemudian memandang Yasmin Zulaikha yang berdiri di belakang.

“Tahniah! Bagus, perlu ada lebih ramai orang muda macam awak!” Sebaris ayat itu buat dia mengelopak senyuman.

Rombongan itu berlalu pergi. Sedikit tergesa. Terdengar suara berkata, Timbalan Perdana Menteri perlu pulang ke ibu kota sekarang kerana malam ini beliau perlu menghadiri acara makan malam penting yang membabitkan kehadiran Yang Dipertuan Agung.

Tuk Ketua Alang Karim mendekatinya ketika rombongan orang besar itu berlalu. Cerah wajah orang tua itu.
“Kita beredar ke dewan belia. Ada jamuan di sana. Sebelum itu nak perkenalkan kamu pada orang surat khabar…”

Seorang lelaki muda tersenyum manis, muncul tiba-tiba di sebelah Alang Karim.

“Inilah Yasmin yang pak cik cakap hari tu!”

Yasmin Zulaikha serba salah tiba-tiba. Tetapi dia tersenyum juga, mengangguk sekali tanda hormat pada anak muda sebelah Alang Karim itu.

“Er, rasa macam pernah jumpa! Siapa ya?”

Bukan Yang Pertama (Siri 8)

‘Anak Angkat’
Anak muda di hadapannya itu tinggi, bertubuh sederhana, bermata bening. Rambut lurusnya keperangan, tidak hitam pekat serta raut wajah putih itu sudah cukup memberikan makluman awal bahawa anak muda itu berdarah kacukan. Anak muda itu tersenyum. Senyuman yang menyerlahkan gigi yang tersusun rapi dan sedap mata memandang.

Yasmin Zulaikha tersenyum balas, mengangguk sekali. Ringan tangannya terasa mahu dihulurkan pada anak muda di hadapannya itu. Tetapi ada suara akal menegah. Anak muda itu lelaki, dia perempuan. Bukankah tidak manis berjabat tangan?

“Jason…” anak muda itu bersuara, meletakkan tapak tangan kanan di dada sebelah kiri dan kemudian mengangguk sekali.

Yasmin Zulaikha terkedu sejenak. Senyuman anak muda itu begitu bergula. Tetapi cepat-cepat dia mewajarkan wajah semula.

“Yasmin,” giliran dia memperkenalkan diri. Ada lega terhambur dari nafas kerana anak muda itu rupa-rupanya sedar mengenai adab aurat lelaki dan wanita Islam.

Anak angkat – dia tergelak sendiri dalam hati ketika mendengar ucapan aluan oleh pengerusi majlis, Encik Zamani dalam majlis penyerahan pelancong pada tuan rumah. Dalam hatinya mentertawakan ucapan pengerusi persatuan belia itu yang membuatkan dia teringat mengenai pengalaman mengikuti khidmat siswa pada zaman belajar dahulu.

Itu wajar dikatakan anak angkat. Tetapi dalam keadaan dia hari ini, wajarkah pelancong yang akan bertamu di rumahnya nanti digelarkan anak angkat. Tetapi hari ini, semua tuan rumah yang sedang menanti giliran menerima tetamu ini sudah selesa menggelarkan diri mereka sebagai bapa angkat atau emak angkat!

“Yasmin dapat anak angkat! Hebatlah!” Ada suara nakal terdengar entah dari mulut siapa ketika Encik Zamani mengumumkan nama Yasmin Zulaikha dan tetamunya, Jason.

“Untungnya. Anak dekat sebaya emaknya!” Ada lagi suara lain menyambut, diselangi derai tawa beranak-pinak.

Jason akan menjadi tetamunya selama dua hari ini. Dan dia akan menunaikan tanggungjawabnya dengan baik selaku tuan rumah.

Beberapa ketika tadi, dia sedikit gementar apabila menatap satu demi satu wajah asing yang bertamu ke homestay mereka. Tika menjamah hidangan ala kampung - nasi putih bersulam sambal belacan serta ulam-ulaman, masak lemak nangka, ikan sepat goreng dan gulai ayam kampung – matanya kerap memandang para tetamu yang juga sedang berselera makan.

Siapa yang bakal jadi tetamunya nanti?

Perempuan Mat Saleh kurus tinggi berambut perang separas bahu yang berbaju T lusuh dan berseluar singkat paras betis itu barangkali. Dia sempat bersalam-salaman dengan wanita itu ketika dia turun bas tadi. Claire namanya, berasal dari Amerika Syarikat.

Atau mungkin lelaki dan perempuan (suami isteri dia kira kerana pasangan itu dia lihat tidak berenggang sejak tadi) berwajah kecinaan yang asyik terangguk-angguk itu. Orang Jepun agaknya, atau jika tidak mungkin Korea atau seangkatan dengannya.

Sempat dia memerhatikan beberapa wajah Melayu yang ada sama. Tiga perempuan muda bertudung yang duduk rapat satu sama lain. Mereka wartawan barangkali kerana yang seorang itu dia perhatikan suka benar mencatat dalam buku notanya.

*Comel

Mungkin juga tetamunya nanti si wanita Cina yang nampak sedikit berusia tetapi sering tersenyum itu. Rambut lurus separas bahu menutup dahi itu membuatkan wajahnya nampak comel. Wanita itu nampak seperti suka berkawan dan tentu tiada masalah jika dia menjadi ahli keluarga baru Yasmin Zulaikha.

Tetapi bukan mereka itu yang diserahkan padanya. Jason – inilah tetamunya. Dia tidak perasan pun anak muda itu dalam tempoh singkat di dewan pejabat belia tadi.

“Saya panggil kakak, boleh?” Jason memandang dengan mata beningnya. Gayanya bagaikan anak-anak yang memohon sesuatu daripada ibu bapa yang garang.

“Kamu boleh bercakap Melayu?” Emak bersuara, sedikit berwajah terperanjat.

Jason tersenyum manis.

“Sedikit-sedikit.”

“Hah! Senanglah kalau begitu. Takut kita nanti jadi macam ayam dengan itik!” Emak berwajah ceria.

Jason nampak terpinga dan bingung. Barangkali tidak faham maksud yang diungkapkan emak. “Boleh panggil Kak Min. Emak kakak ni, boleh panggil mak cik.” Yasmin mengambil jalan tengah, bersuara lambat-lambat, mahu memahamkan anak muda itu. “Panggil ‘emak’ pun tak apa!” Emak laju meningkah. Nampaknya emak lebih teruja berbanding dia sendiri.

“Bawa anak angkat masing-masing pulang ke rumah dahulu. Berkenal-kenalan dan biar mereka rehat lepas berjalan jauh. Pukul 3 nanti, datang bersama anak angkat masing-masing ke majlis pelancaran,” begitu pesanan Encik Zamani sebelum semua tuan rumah bubar dari dewan pejabat belia bersama tetamu mereka.

Dalam hati Yasmin, ada kelucuan belum terhapus dengan istilah kegemaran Encik Zamani itu. Tetapi dia enggan meremehkan. Bagi warga desa, mungkin istilah ‘anak angkat’ dapat mengungkap suasana kekeluargaan, menjadikan hubungan lebih dekat dan mesra. Perkataan ‘anak’ itu sendiri menggambarkan sesuatu yang ikatan yang manis, yang mungkin akan mengikat hati pelancong untuk datang lagi!

Kemesraan – memang itu yang wajar diberikan selaku tuan rumah.

Jason ditunjukkan bilik dan disuruh berehat. Anak muda itu senang hati melangkah masuk ke kamarnya. Azlan yang malam tadi tiba dari Sintuk sama melayan Jason. Terkial-kial hendak berbual dalam bahasa Inggeris dengan Jason tetapi Jason pula yang bercakap Bahasa Melayu dengannya!

“Sebaya Anis agaknya si Jason tu. Tak pun mungkin sama dengan Azlan…” emak bersuara perlahan ketika mereka berdua berada di dapur.

Yasmin Zulaikha menyediakan air mangga di dapur. Dia menelan air liur mendengar nama Anis disebut.
“Baik nampaknya budi bahasa budak Mat Saleh tu…” lanjut emak.

Emak duduk menikmati air mangga yang dihidangkan Yasmin. Yasmin Zulaikha juga mengambil tempat. Ada sesuatu yang menggoncang hatinya.

“Elok juga Azlan balik. Azlan beritahu mak kat dewan tadi, dia minta pada Zamani, kalau boleh bagi kita pelancong Mat Saleh. Katanya, dia nak belajar sesuatu dari mereka.” Emak menghirup air mangga yang manis. Wajahnya juga manis berseri.

Tersentuh hatinya melihat wajah ceria emak. Dia andaikan emak ria menerima kehadiran ‘anak baru’. Juga senang hati kerana Azlan yang sudah tiga bulan tidak balik tiba-tiba pulang semata-mata mahu meraikan hari bersejarah mereka. Tetapi dalam mata emak, dia lihat seperti ada sesuatu. Agaknya emak terkilan kerana Anis tidak ada.

Ternampak kelibat Azlan keluar dari bilik air masuk ke biliknya. Barangkali mahu menunaikan solat Zuhur. Waktu semakin larut. Dia sendiri pun belum menunaikan solat. Barangkali dia perlu meminta petunjuk Tuhan.
Dalam hati, ada sesuatu yang tidak beres.

Anis!
Dia renung wajah emak. Tidak sampai hati hendak membuka mulut. Bimbang cerita mengenai Anis yang dia masih tidak tahu hujung pangkal itu boleh memusnahkan bunga bahagia yang berkembang di wajah ibunya itu.

Nantilah!
Begitu dia memutuskan. Tetapi debaran di hatinya, entah mengapa sukar ditenteramkan.

Monday, July 21, 2008

Bukan Yang Pertama (Siri 7)

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi amat mengasihani. Dia mahu mulakan dengan nama Allah. Yasmin Zulaikha menarik nafas dan menghelakan dengan tenang. Hari ini hari bersejarah.

Hari ini bakal jadi hari yang akan mencatatkan sejarah dalam hidupnya. Hari ini akan jadi hari yang memberi warna kepada hidupnya.

Matanya melirik pandang pada nama sendiri yang tercetak kemas pada panel besi empat segi yang terpacak kukuh di hadapan kediamannya. Panel berwarna putih keseluruhannya dengan barisan nama berwarna hitam. Di atasnya tertulis ‘Program Homestay Desa Sempadan’, diikuti barisan bawahnya Yasmin Zulaikha Basri, lengkap dengan alamat rumah dan nombor telefon.

Kehadiran panel besi itu yang dipacakkan di hadapan rumahnya dua hari lalu mengesahkan bahawa Yasmin Zulaikha adalah salah seorang peserta program homestay yang akan dilancarkan Timbalan Perdana Menteri petang nanti!

Yasmin Zulaikha meraba-raba letak tudung hijau pucuk pisang yang kemas menutup kepala.
Dadanya sedikit berdebar dalam baju kurung Pahang sedondon hijau itu. Tetapi cepat-cepat dia bisikkan kata penenang ke dalam hati sendiri. Bukankah dia sudah serahkan segala-gala pada Allah yang maha berkuasa?


Jam di pergelangan tangan ditatap. Matanya beralih pula ke arah pintu dapur yang masih terbuka. Resah terjangkit menanti emak. Dia bimbang mereka kelewatan. Masa begitu berharga. Dia mahu memberi imej yang baik dengan tugasan pertama yang akan dipikul hari ini.
“Mak, cepat sikit…”


Kedengaran sayup suara emak membalas.

Tidak sampai dua minit kemudian, emaknya muncul di lawang pintu dengan berbusana serba kuning, dari tudung sehingga baju kurung Johor sepasangnya. Lengkap dengan beg hitam kulitnya. Langkahnya sedikit tergelut.

Yasmin Zulaikha membeliakkan mata.

“Amboi! Siapa yang nak diraikan hari ni? Min atau emak? Serba kuning macam sultanah,” Yasmin Zulaikha sempat berlucu. Menyorot pandang dari atas sehingga bawah ibunya.
Emak menjeling sejenak. Tangan mencapai kasut di rak, kemudian tunduk sedikit meletakkan kasut di hujung kaki.


“Nanti kalau mak pakai baju tak cantik, Min juga yang malu…” Tidak mahu kalah emaknya membalas.

Yasmin Zulaikha tergelak.

“Marilah mak. Nanti kita lambat pula sampai. Jadi imej tak baik pula. Melayu Baru kena tepat janji,” si anak gadis berlalu tangkas ke kereta yang diam di halaman yang luas.

Enjin Kancil segera dihidupkan. Emak pula terkocoh-kocoh mengunci pintu dapur, kemudian separuh berlari ke kereta. Tetapi sebelum sempat dia meletak punggung, dia menepuk dahi.
“Allah! Mak dengar bunyi telefon dalam rumah. Tapi pintu dah kunci,” sedikit teragak-agak campur mengah suaranya.


“Biarlah mak. Mesti Tok Alang tu. Agaknya dia dah menunggu kita di pejabat belia.” Yasmin Zulaikha sudah mahu masuk gear.

Langkah emak tergencat. Gesit dia masuk ke kereta. Kancil beredar keluar dari kediaman, melaju ke jalan besar. Tidak sampai 10 minit kemudian mereka sampai di pejabat beliau. Dari jauh dewan itu kelihatan sudah sesak padat dengan orang ramai. Sejenak emak tercengang melihat orang yang berkumpul di sana.

“Ramainya. Semua orang dah berkumpul di sini. Kita saja yang lambat, Min!” Suara emak kedengaran sedikit sesal. Tetapi kemudian dia tersengih lebar kala melihat seseorang menggamitnya. Dia menunjuk-nunjuk pada pada Mak Long Zakiah yang terlambai-lambai ke arahnya.

Yasmin Zulaikha membiarkan sahaja. Emak kalau sudah bertemu sahabat baiknya memang begitulah. Dia memerhati sekitar dewan yang sederhana luas, yang semakin sesak. Sebahagian tetamu di situ, dia kenal akrab. Mereka rakan seperjuangan dalam program ‘homestay’.

“Pukul berapa bas dari Kuala Lumpur sampai?” kedengaran suara, entah siapa bertanya kepada entah siapa.

“Dengarnya masih dalam perjalanan. Tengah hari nanti, insya-Allah. Mereka makan tengah hari di sini,” ada suara yang tolong menjawab. Juga dia tidak tahu siapa.

Yasmin Zulaikha tercari-cari kelibat Tok Ketua Alang Karim. Tetapi tidak kelihatan. Malah jika dia tidak silap Proton Wira orang tua itu juga tidak kelihatan di ruang letak kereta di luar sana. Agaknya dia ada urusan di mana-mana.

Ruang bilik mesyuarat di pejabat belia itu menempatkan dua meja bujur panjang. Secara anggarannya boleh memuatkan sehingga lebih 100 orang. Yasmin Zulaikha kenal benar bilik ini kerana di sinilah dia tercatuk menunggu dan mendengar setiap kali mesyuarat ahli jawatankuasa homestay. Sejak beberapa bulan kebelakangan, bilik ini bagaikan pejabatnya sendiri.

Meraikan

Mengikut perancangan, rombongan dari Kuala Lumpur akan tiba di sini sebelum pukul 1 tengah hari. Mereka akan menikmati makanan tengah hari sebelum diserahkan pada keluarga angkat masing-masing.

Di meja panjang yang rapat ke dinding sudah tersedia hidangan yang bakal dijamah tetamu. Dia tidak tahu menu apa yang disediakan. Sekadar dia difahamkan, semuanya juadah ala kampung, kerana mahu meraikan orang Kuala Lumpur yang bakal bertandang.

Orang Kuala Lumpur? Kebanyakan orang Kuala Lumpur asalnya dari kampung juga! Hatinya terdetik, sekali gus terkelopak senyuman di bibirnya.

Siapa pelancong yang akan diserahkan padanya nanti? Lelaki, perempuan, Melayu, Cina atau India? Atau barangkali bukan orang tempatan, sebaliknya warga asing? Hatinya masih tertanya-tanya. Malah dia pasti semua tuan rumah terbabit juga sedang berdebar menunggu tetamu yang bakal diam di rumah mereka selama dua hari satu malam ini.

Khayal dan teka-teki minda Yasmin Zulaikha tergencat. Telefon bimbit berdendang minta dijawab. Terburu-buru dia menyeluk ke dalam beg.

“Puan Khadijah?”

“Saya anaknya. Puan Khadijah err…” Mula melilau matanya mencari. Emak kelihatan ceria di sudut sana berlabun sakan nampaknya dengan Mak Long Zakiah!

“Saya perlu bercakap dengan penjaga Anis Izudin,” suara wanita di hujung sebelah sana tenang penuh skema.

“Saya kakaknya, Yasmin. Boleh dikira penjaga dia juga. Ada apa puan?”

“Saya Hamidah, dari pejabat pentadbiran kolej Anis. Ada sedikit masalah dengan adik Cik Yasmin.”

“Masalah apa tu? Err…” Sedikit terkacau dia dengan perbualan dua lelaki yang tiba-tiba muncul di hadapan pintu pejabat belia. Dia bergerak menjauh dari pintu. Langsung keluar mencari ruang selesa.

“Sedikit masalah berkaitan disiplin. Saya hanya nak maklumkan pihak kolej sudah menghantar surat pada cik dan ibu cik mengenai laporan disiplin Anis. Mungkin cik akan terima dalam sehari dua ini.”

Yasmin Zulaikha bingung seketika. Tidak tahu bagaimana mahu menanggapi atau membalas ujaran di sana.

“Err, maaf, saya masih bingung. Ada apa sebenarnya?”

“Seperti saya katakan, sedikit masalah disiplin. Tunggu surat itu dahulu. Saya menelefon untuk memaklumkan dahulu. Supaya penjaga tidak terkejut. Ini adalah prosedur biasa.” Masih tenang, tetapi wanita bernama Hamidah itu sedikit menekan suara pada ‘sedikit masalah disiplin’.

Hamidah yang menelefon meminta izin untuk menamatkan perbualan dengan sedikit pesanan, ‘tidak perlu risau’ dan ‘tunggu saja dulu’.

Yasmin Zulaikha menelan liur. Apa sahaja yang dilakukan Anis di kolejnya. Kebelakangan ini, dia seperti sedikit terlupa adik seorang itu kerana begitu sibuk menguruskan halnya sendiri. Kalau tidak silap, dua malam lepas, dia dengar Anis menelefon emak, tetapi emak tidak pula bercakap apa-apa yang aneh.

Apa yang terjadi?

Dia bergerak ke pintu dewan, mahu mencari emak. Ada sesuatu yang harus dimaklumkan pada emak. Emak mungkin boleh memberikan penjelasan.
“Orang Kuala Lumpur dah sampai!”


Langkahnya terhenti. Seruan itu mematikan langkahnya. Dia menoleh. Sebuah bas besar tinggi berwarna hijau kelihatan membelok masuk.Yasmin Zulaikha menelan air liur lagi!

Bukan Yang Pertama (Siri 6)

Ada kesal menukik di hati. Sudah lama dia mendengar cerita-cerita tidak sedap mengenai anak kampung yang seorang itu. Isa bukan orang lain, walau tidak akrab tetapi tetap anak kampungnya. Tetap ada sangkut saudara juga.

Cacat cela, baik buruknya, masih di bawah pemantauan Alang Karim sebagai ketua.
Kadangkala dia rasa Si Isa itu seperti nyamuk. Benar-benar pengacau. Pengacau yang selalu menggugat ketenteraman. Kerana nyamuk seekor, bisa menggugat tidur dan rehat. Si Isa seperti itulah, kerana dia seorang seluruh desa terganggu dan kacau. Pengacau harus disingkirkan!


Tetapi kemudian Alang Karim beristighfar. Dia kembali menumpukan perhatian pada pemanduan. Jalan raya kampung lengang. Hatinya senang memandu dalam kelengangan ini dan memandang kiri kanan yang masih dipenuhi kehijauan pepohonan. Tetapi mengingati cerita Hamdan mengenai Isa yang membawa cerita yang bukan-bukan, buat hati tuanya terbakar.

Ini bukan kali pertama sebenarnya. Setiap kali ada kisah orang yang hendak menggugat program homestay mereka, nama Isa pasti naik. Si Isa itu ada-ada sahaja yang tidak kena. Semua orang tidak kena pada matanya. Semua orang tidak betul padanya. Hanya dia seorang yang betul.

Mulanya dia hanya mendengar daripada mulut orang lain. Akhirnya dia bertemu empat mata dengan Isa. Mahu penjelasan lanjut. Tetapi lelaki itu terus-terang menyatakan tidak akan memberi sokongan. Dia tetap dengan pendiriannya, bahawa apa yang mereka usahakan itu hanya membawa pada budaya buruk di kampung. Akan meruntuhkan kampung, bukan membangunkan!

“Maafkan saya, tok. Saya bukannya tak suka tetapi benda-benda ni semua bertentangan dengan prinsip saya. Maaflah, saya tak nak campur dalam kerja-kerja yang bercampur antara kebaikan dan keburukan ni.”

“Jangan terikut sangat dengan cakap puak tertentu, Isa. Kita kena jelas dengan apa yang kita buat, tak terpengaruh dengan orang,” sebagai orang lama, dia sekadar memberi nasihat.

“Itu kata tok. Tapi pandangan saya lain,”Dia malas untuk memujuk lelaki itu. Sia-sia dan buang masa saja pada hematnya. Dia tahu pendirian Isa ada kena-mengena dengan fahaman politiknya. Kalau bercakap panjang-panjang pun tak guna, tetap dia hendak menang dan dia memang hanya tahu mahu menang sahaja.

Kalau hendak mengajar pun, biarlah mengajar pada orang yang hendak belajar. Orang yang hendak belajar itulah modal insan yang terbaik, yang harus diasah agar memiliki minda kelas pertama. Dalam kotak fikirnya, dia sudah punya beberapa modal insan yang terbaik, yang bakal diasuh dan diasah untuk ditajamkan minda mereka sehingga ke tahap kelas pertama.

Banyak rencana yang dia baca dalam akhbar yang menekankan buah fikir Perdana Menteri mengenai modal insan yang memiliki kelas pertama. Insan adalah sebaik-baik modal, lebih berharga daripada wang ringgit dan harta benda. Modal seorang insan adalah akal kurniaan Allah, yang harus digunakan secemerlang mungkin untuk menjana sesuatu yang paling berharga.

Sebuah kampung yang sunyi sepi kerana ditinggalkan, tentu boleh jadi maju jika dibangunkan dengan modal insan yang memiliki kelas pertama. Bukankah dengan akal, kita boleh mengubah apa sahaja? Bukankah dengan akal, kita boleh membangunkan negara?

Sejak mendapat idea mengenai modal insan kelas pertama itu, dia selalu menegaskan hal itu pada anaknya Si Intan Maziah. Dan selalu jugalah anak daranya yang seorang itu mengusik apabila dia membuka khutbah mengenai kepentingan ilmu dalam melatih manusia yang berjiwa cemerlang.

“Ayah ni sekarang bukan main lagi, mengalahkan orang politik. Semuanya tahu. Bolehlah ganti Datuk Kasa,” usik Intan sambil tergelak-gelak memandangnya.

“Dalam surat khabar semua ada tulis. Baca sahajalah. Ayah setiap hari beli surat khabar supaya kamu baca. Penting untuk tingkatkan pengetahuan am. Kamu tu nak periksa SPM tahun ni. Ini asyik baca novel cinta saja!” sempat dia menyindir anak remajanya yang tidak lekang dengan novel cinta setiap hari.

Setiap bulan, dia terpaksa menokok wang belanja untuk membolehkan Intan Maziah membeli novel kegemaran. Namun dia tidak pernah merungut kerana tahu minat anak bongsunya itu. Dia juga tidak risau jika Intan terhanyut dengan fantasi novel cintanya kerana dia yakin anak itu tahu membeda baik buruk.

Selain novel cintanya, anak itu juga sudah berkali-kali membaca Di Bawah Lindungan Kaabah, Merantau Ke Deli dan Tenggelamnya Kapal Van Der Vijdck, tulisan Hamka.

Merungut

Malah, Sejarah Melayu milik Alang Karim juga sudah habis dikhatam sejak tingkatan satu lagi walaupun ketika itu, dia gagal memahami banyak perkara. Baru-baru ini, si anak meminta wang lagi kerana hendak membeli versi baru Hikayat Khoja Maimun, Syair 100 Siti, Cendawan Putih, Jayapati dan entah apa-apa lagi hikayat Melayu yang dia sendiri tidak pernah dengar.

Dia merungut, kadangkala sengaja merungut kerana hendak melihat akal si anak. “Novel cinta kamu kan sudah banyak? Hendak membeli apa lagi?”

Tetapi si anak membalas, “novel cinta itu untuk bacaan suka-suka. Macam mee segera, sedap tapi tak kenyang. Tapi buku-buku serius ini untuk makanan minda. Mengenyangkan. Cikgu kat sekolah selalu cakap begitu.”

“Mana kamu dapat senarai buku tu?”

“Cikgu oranglah bagi. Dia kata bagus baca buku-buku tu kalau nak faham mengenai kesusasteraan!”

Alang Karim menekun.

“Kan Intan cakap Intan nak masuk Universiti Malaya. Intan nak dalami bidang sastera!” laju anak itu menjawab, membuatkan Alang Karim terdiam langsung.

Intan Maziah!

Malah kadangkala pernah dia terfikir, anak gadis itu memang betul-betul ‘ulat buku’ kerana sejak kecil, setiap buku tanpa mengira genre dan penulis akan cuba dihabisinya walaupun kadangkala dia sendiri tidak faham apa yang dibaca.

Alang Karim membrek mengejut. Terkejut kerana di laluan lengang itu tiba-tiba melintas seekor ayam. Mujur ayam terselamat. Entah ayam siapa tersesat sehingga ke tengah jalan raya, dia sendiri tidak pasti. Tetapi ini bukan kejadian yang aneh. Ayam, kucing, malah kadangkala biawak - pernah berkongsi laluan yang sama ini!

Kembali Alang Karim menumpukan perhatian pada pemanduan. Sesekali dia menoleh ke sebelah, melihat bungkusan bihun sup kegemaran Intan Maziah. Aroma supnya tertebar ke seluruh ruang kereta sehingga menyebabkan dia digoda lapar.

Mengingati makanan kegemaran anak bongsunya itu, membayangkan keletah Intan Maziah yang keanak-anakan tetapi kadangkala matang, juga mengenangkan kesetiaan isteri yang tidak surut lebih bahagia daripada membiarkan ingatan melayang pada orang berfikiran negatif seperti Si Isa itu.

Alang Karim menghelakan nafas sekali.

Bumbung rumah berzink warna biru sudah kelihatan. Dia membelok kereta ke halaman, berhenti betul-betul di hadapan tangga batu berwarna coklat. Menghela nafas dan mengucap alhamdulillah kerana selamat tiba di rumah.

Intan Maziah melenting turun dengan wajah ceria.

“Ayah, tadi ada wartawan telefon. Dia nak bercakap dengan ayah!”

Bukan Yang Pertama (Siri 5)

BERANGKAT dari kediaman Yasmin Zulaikha, Alang Karim bercadang hendak balik terus ke rumah. Tetapi di pertengahan jalan, dia teringat pesanan anak perempuannya, Intan Maziah meminta supaya membelikan sesuatu.

Langsung dia membelok ke kawasan penjaja, memberhentikan Proton Wiranya tidak jauh dari gerai Hamdan yang kelihatan masih kosong.

Jam baru pukul 4.30 petang. Dan dia tahu Hamdan baru hendak memulakan operasi niaga bihun sup utaranya. Selalunya kedai makan kecil itu akan berlanjutan sehingga 12 tengah malam. Keenakan bihun sup utara air tangan Hamdan memang sedia dimaklumi warga desa dan desa kejiranan.

“Awal hari ini, tok ketua?” Dia disapa anak muda itu. Tok Ketua Alang Karim tersengih.

“Singgah sekejap. Buatkan aku bihun sup tiga bungkus. Anak aku Si Intan tu sejak semalam menyebut nak makan bihun sup kamu…”

Alang Karim ambil tempat di kerusi. Dia terdengar Hamdan mengarahkan pembantunya menyediakan pesanan. Sejenak matanya melingas memandang kawasan keliling yang sedap mata memandang. Meja bersusun kemas, dihiasi bunga sekuntum dalam pasu mini. Jarinya menyapu sekilas permukaan meja. Tidak berminyak. Ada rasa puas menyelinap ke hati. Dia puas dengan cara anak jati Desa Sempadan berniaga.

“Tok Ketua dari mana? Bukan main segak lagi berbaju batik ni. Nak makan apa-apa sementara menunggu?”

Hamdan sudah kembali ke sisinya, menarik kerusi dan meletakkan punggung.
Alang Karim menoleh.

“Eh, tak payah! Masih kenyang lagi ni!” Dia cepat-cepat membalas.

Di hujung lidah, bagaikan masih terasa keenakan bingka ubi yang dinikmati di rumah Yasmin Zulaikha tadi. Malah kuih kegemaran isterinya itu juga turut dibekalkan tuan rumah itu untuk anak isterinya.
Mereka berbual ringkas. Alang Karim tidak keberatan bercerita serba sedikit mengenai mesyuaratnya yang berlangsung sejak pagi tadi yang kini sudah membawa ke waktu Asar. Hamdan terangguk-angguk mendengar. Tumpang bangga dengan usaha warga kampung. Dia juga sebenarnya tidak sabar-sabar hendak melihat hasil daripada perancangan tersebut. Ini sesuatu yang baru, pasti mencatat sejarah di desa mereka.

“Elok juga usaha ni. Taklah kampung kita ni tertinggal sunyi saja. Tok Ketua pun dapat tengok kan, dah tak ramai orang muda di sini. Kalau nak meriah pun, hanya waktu raya.”

Alang Karim menelinga. Dia sedar akan hal itu. Sebagai ketua kampung, dia hanya mampu memerhati seorang demi seorang anak muda desa menyingkirkan diri. Tangannya tidak mampu berbuat apa-apapun. Anak-anak muda itu lari kerana di desa ini tidak apa-apa yang bernilai untuk mereka. Mereka lari untuk mencari kehidupan yang lebih baik di bandar.

Hatinya perit sayu melihat semua itu. Desa mereka kecil sahaja. Dia tahu setiap ceruk desa. Dia kenal semua orang. Setiap mereka bagaikan bersaudara. Dia tidak rela melihat anak-anak buahnya melarikan diri seorang demi seorang. Jiwa tuanya tersinggung tetapi apa dayanya hendak mengubah itu semua.

Tetapi kali ini dia seakan-akan melihat ada cahaya di hujung terowong. Datuk Kasa membuka jalan. Setiap kali bertemu dengan bekas Adun itu, dia selalu menyatakan kebimbangan melihat keadaan desa yang semakin hari semakin sepi. Yang tinggal hanya orang tua yang tidak kuasa lagi hendak ke mana-mana dan kanak-kanak serta remaja yang sedang memasang angan-angan untuk berhijrah apabila sampai masa.

Malah anak bongsunya, Si Intan Maziah yang baru di tingkatan lima itu juga pernah memberitahu hasrat hendak terus bekerja di Kuala Lumpur jika cita-citanya melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya, tercapai. Dia tidak terkata mendengar cita-cita menggunung Intan kerana dia sendiri sedar dia tidak mampu menyediakan masa depan untuk anaknya di desa ini.

Tetapi kini dia semakin positif!

Alang Karim tidak sangka borak-borak di kedai kopi dengan Datuk Kasa akhirnya membuahkan hasil. Datuk Kasa menyedarkannya bahawa masih ada ruang untuk memulihkan keadaan. Sumber desa belum dimanfaatkan sepenuhnya. Anak-anak desa bimbang masa depan mereka kerana mereka menganggap desa tidak menyumbang apa-apa untuk masa depan mereka.

Bangunkan sumber ekonomi di desa, jika mahu mengikat anak muda di sini. Mereka harus diinsafkan bahawa banyak punca rezeki yang belum diusahakan. Desa harus dikomersialkan jika mereka mahu anak-anak muda kekal. Minda mereka harus dibuka luas. Pembangunan tidak bermakna hanya berada di bandar. Pembangunan di desa juga terbentang untuk diteroka.

Dia juga sedar, perusahaan desa secara kecil-kecilan sudah ada. Perusahaan makanan dan berasaskan pertanian paling menguasai di Desa Sempadan. Masih tidak cukupkah?

“Memang tak cukup. Sebab budak-budak kita tak melihat itu sebagai kerja yang glamor. Ini masalah budak-budak kita. Lagi satu mereka nampak kerja itu dibuat oleh orang-orang tua. Dibuat di rumah pula. Tak nampak hebat pada mata mereka!” Itu reaksi Datuk Kasa.

“Jadi kita kena buat sesuatu supaya benda ni nampak hebat pada mata budak-budak muda ni?”
“Ya betul! Kena buat sesuatu!”

Alang Karim masih ingat, lama juga dia dan Datuk Kasa memperhalusi rancangan itu. Pandangan demi pandangan dan saranan demi saranan dikumpul, diteliti dan dicongak sebaik mungkin. Dia dan Datuk Kasa berbahagi tugas. Dia akan menyelia orang kampung.

Datuk Kasa pula akan berurusan dengan pihak kerajaan dan akan menggunakan pengaruhnya untuk meminta bahagian yang perlu.

Sekarang rancangan mereka hanya menunggu masa untuk direalisasikan. Dan selepas ini, Alang Karim sudah boleh bersenang hati jika segalanya berjalan lancar. Yang penting dia tidak harus bersusah hati lagi memikirkan desa yang semakin sepi. Yang perlu selepas ini ialah melatih beberapa orang muda yang dipercayai untuk mengambil alih tugasnya dalam menyeliakan program homestay.

Beberapa nama yang berpotensi sudah tercetak di kepalanya.

Dia sesungguhnya yakin pilihannya tepat.

Pembantu kedai Hamdan datang meletakkan pesanan di hadapannya mengganggu lamunan Alang Karim. Aroma sup menyucuk hidung, begitu menggamit selera. Terburu-buru dia mengeluarkan dompet dan mengambil duit untuk membayar. Sejurus kemudian agak tercangak-cangak dia mencari Hamdan yang sudah tiada di kerusi di sebelahnya.

“Hamdan!”

Hamdan terkocoh-kocoh dari belakang, datang bergegas apabila melihat tok ketua bersiap hendak beredar.

‘Maaf, tok. Saya kat belakang tadi.

Er, tok ada dengar apa-apa kebelakangan ni?” sedikit teragak anak muda pertengahan 30-an itu bersuara.

“Kenapa?”

“Er, cakap-cakap sumbang, tok. Tak sedap saya dengar.”

“Siapa yang baca cerita?”

“Pak Isa!”